DOA RABITHAH


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..


99 LANGKAH MENUJU KESEMPURNAAN IMAN



01.   Bersyukur apabila mendapat nikmat;
02.   Sabar apabila mendapat kesulitan;
03.   Tawakal apabila mempunyai rencana;
04.   Ikhlas dalam segala amal perbuatan;
05.   Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan;
06.   Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan;
07.   Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan;
08.   Jangan usil dengan kekayaan orang;
09.   Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang;
10.   Jangan sombong kalau memperoleh kejayaan;
11.   Jangan tamak kepada harta;
12.   Jangan terlalu menginginkan akan sesuatu kedudukan;
13.   Jangan hancur kerana kezaliman;
14.   Jangan goyah kerana fitnah;
15.   Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri.
16.   Jangan campuri harta dengan harta yang haram;
17.   Jangan sakiti ayah dan ibu;
18.   Jangan usir orang yang meminta-minta;
19.   Jangan sakiti anak yatim;
20.   Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar;
21.   Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil;
22.   Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid);
23.   Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyu';
24.   Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid;
25.   Biasakan solat malam;
26.   Perbanyakkan dzikir dan doa kepada Allah;
27.   Lakukan puasa wajib dan puasa sunat;
28.   Sayangi dan santuni fakir miskin;
29.   Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah;
30.   Jangan marah berlebih-lebihan;
31.   Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan;
32.   Bersatulah karena Allah dan berpisahlah karena Allah;
33.   Berlatihlah untuk menumpukan pemikiran;
34.   Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila kerana sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi;
35.   Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan;
36.   Jangan percaya ramalan manusia;
37.   Jangan terlampau takut miskin;
38.   Hormatilah setiap orang;
39.   Jangan terlampau takut kepada manusia;
40.   Jangan sombong, takabur dan besar kepala;
41.   Berlakulah adil dalam segala urusan;
42.   Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah;
43.   Bersihkan rumah dari patung-patung berhala;
44.   Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran;
45.   Perbanyakkan silaturrahim;
46.   Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam;
47.   Bicaralah secukupnya;
48.   Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya;
49.   Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu;
50.   Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur;
51.   Jauhkan diri dari penyakit-penyakit batin;
52.   Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga;
53.   Makanlah secukupnya, tidak kekurangan dan tidak berlebihan;
54.   Hormatilah kepada guru dan ulama;
55.   Sering-sering berselawat kepada nabi;
56.   Cintai keluarga Nabi s.a.w;
57.   Jangan terlalu banyak hutang;
58.   Jangan terlampau mudah berjanji;
59.   Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara;
60.   Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti bercakap-cakap yang tidak berguna;
61.   Bergaul lah dengan orang-orang soleh;
62.   Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar;
63.   Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu;
64.   Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita;
65.   Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi;
66.   Jangan membenci seseorang karena pahaman dan pendiriannya;
67.   Jangan benci kepada orang yang membenci kita;
68.   Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan
69.   Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan.
70.   Jangan melukai hati orang lain;
71.   Jangan membiasakan diri berkata dusta;
72.   Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian;
73.   Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab;
74.   Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan;
75.   Hormati orang lain yang lebih tua dari kita
76.   Jangan membuka aib orang lain;
77.   Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berprestasi dari kita;
78.   Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana;
79.   Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan;
80.   Jangan sedih kerana miskin dan jangan sombong kerana kaya;
81.   Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama,bangsa dan negara;
82.   Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain;
83.   Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara;
84.   Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa;
85.   Hargai prestasi dan pemberian orang;
86.   Jangan habiskan waktu untuk sekadar hiburan dan kesenangan;
87.   Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan.
88.   Sediakan waktu untuk berolahraga yang sesuai dengan norma-norma agama dan kondisi diri kita;
89.   Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fizikal atau mental kita menjadi terganggu;
90.   Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana;
91.   Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan jasa kita;
92.   Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina;
93.   Jangan cepat percaya kepada berita jelek yang menyangkut teman kita sebelum dipastikan kebenarannya;
94.   Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban;
95.   Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan dan tidak berlebihan;
96.   Jangan memforsir diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri;
97.   Waspadalah akan setiap ujian, cubaan, godaan dan tentangan.  Jangan lari dari kenyataan kehidupan;
98.   Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan;
99.   Jangan berjaya di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang.

LAWSONIA INERMIS BUAT SRIKANDI



Matanya tajam memandang ke kiri dan kanan. Sesekali dia menjeling ke arah jam di dinding. 6.20 petang! Bila-bila masa sahaja panggilan akan berkumandang menuturkan namanya. Dia menyeka peluh di dahi. Cuba untuk menenangkan hatinya yang kian resah. Kalut!

Kau ni kenapa?Berpeluh bagai nak rak!
Kau sibuk buat apa? Kau tahu apa yang aku rasa?
Mestilah aku tahu. Malah aku lebih tahu dari kau sendiri!
Kalau kau tahu sangat, beritahu aku apa yang aku tidak tahu!

Matanya masih memandang cermin dengan rasa yang berkecamuk. Tuah! Buktikan! Kau bukan seperti yang mereka sangkakan! Jangan sampai engkau membenarkan apa yang mereka katakan!

Hei, Tuah! Kau macam tidak yakin dengan apa yang engkau lakukan! Tak usahlah engkau hendak buktikan apa-apa!
Kenapa aku perlu ikut apa yang kaukatakan? Bukankah aku yang memiliki jasad ini? Kau tidak punya hak untuk menghasut! Aku sudah cuba untuk mengumpul segala kekuatan yang ada, jangan pula kau sengaja untuk merendah-rendah kelebihan yang telah Allah kurniakan pada aku! Kau tidak ada hak!
Wah, hebat cara kau bercakap! Macam menteri pula!
Sudah! Kau sudah mula buat aku rasa muak.

Tuah masih memandang cermin. Wajahnya mempamerkan pelbagai reaksi. Titis  peluh yang cuba untuk meloloskan diri, cepat sahaja diseka. Sesekali dia melirikkan matanya ke pintu bilik. Hampa, tiada apa-apa di situ! Mungkin masanya belum tiba lagi.

Dia masih terpacak di sudut laman rumah. Dengan kudrat yang masih berbaki, dia cuba mengangkat saki-baki anak pokok yang masih tinggal. Terasa juga protes di hati apabila Pak Aman sengaja membiarkan tangan gadisnya dimamah butir-butir pasir yang kasar. Namun, dia tidak pernah menyatakan bahawa dia juga ingin dilayan seperti anak-anak gadis yang lain, bukan anak tiri! Hanya kerana namanya Tuah, kekuatannya dianggap sama dengan lelaki. Mana mungkin! Dia Tuah Srikandi! Seorang gadis biasa yang juga punya watak dan sifat yang sama seperti anak-anak gadis yang lain. Bukan Hang Tuah yang mempunyai seribu satu persoalan tentang kebenaran dan kenyataan. Tiada kemusykilan tentang kedudukkannya sebagai seorang wanita. Sungguh!

“ Pak Aman, Tuah nak rehat sekejap boleh? ” dia membetulkan tudung yang melitupi kepala. Terasa hilang beban yang baru sahaja dilepaskan. Wajah Pak Aman dipandangnya sekilas. Tiada senyuman lansung!
“ Baru buat kerja sikit, dah nak rehat. Macam mana kau nak berjaya dalam hidup? Masih ada separuh lagi ni, siapa nak siapkan? ”
“ Tuah dah angkat 75 batang, Pak Aman. Tuah bukan lelaki, Tuah perempuan. Dah cukup baik Tuah nak tolong. Nak harapkan anak dara Pak Aman, sampai bila pun tak habis kerjanya. Sekejap lagi Tuah sambunglah. ”  Sengaja nada suaranya dilatarkan rendah. Mungkin impaknya lebih berkesan nanti.
“ Kau nak bandingkan si Melur tu dengan kau? Tak layak sungguh! Dia tu pandai, bijak, cantik, lepasan universiti. Bukan macam kau, pakai tudung pun tak betul. Kalau tak kerana mak kau adik aku, tak teringin aku nak jaga kau. Dahlah suka melawan, kerja sikit pun dah nak merungut. Nak mengata anak aku pula. Apalah nak jadi dengan engkau ni! ” Tuah hanya diam. Berbekas juga hatinya dengan kata-kata itu. Mungkin benar, mungkin juga tidak. Bukan dia tidak tahu, memang sudah sekian lama Pak Aman membencinya, apatah lagi ketika dia di bangku sekolah. Kenakalan dan sifat liar yang membalut wataknya pada waktu itu sememangnya memberi kesan yang mendalam kepada pemikiran Pak Aman. Bagi lelaki 60-an itu, Tuah tetap Tuah yang dulu! Tuah yang menyusahkan semua orang sehingga ibunya meninggal ketika dia dituduh terjebak dalam kancah dadah. Kau tetap anak buangan, Tuah Srikandi! Kau bukan Hang Tuah, pahlawan terbilang!
“ Kenapa Pak Aman sanggup cakap macam tu? Teruk sangatkah Tuah? ” kali pertama dalam hidupnya, dia merasakan dirinya hina sekali. Pak Aman memandang wajahnya dengan dahi yang berkerut seribu. Matanya bundar. Bengis!
“ Kau tanya lagi. Siapa yang menyebabkan kematian mak kau? Engkau! Siapa yang memalukan orang-orang dalam kampung ni, engkau! Sekarang kau nak tanya lagi pada aku!” Kemarahan Pak Aman jelas menyala. Hebat jarinya menunding Tuah. Manakala gadis itu hanya diam tanpa kata. Perlahan-lahan, langkahnya diayunkan ke corok belakang rumah. Maki hamun yang dilemparkan hanya dibiarkan begitu sahaja, terasa sudah kebal dan sebati dengan kehidupan yang menyonsong datang.

Matanya merah. Lurah pipinya sudah kemas dibaluti airmata. Masihkah dia gah untuk bertahan? Tuah pasrah! Segala yang berlaku pasti Allah tunjukkan hikmah. Dia beralih ke birai jendela, ufuk senja merah menghiasi segenap ukiran alam di muka bumi. Camar yang pulang ke sarang membina satu barisan pertahanan dengan penjuru yang berbagai rupa. Hatinya terasa dibelai pilu yang teramat sangat. Sungguh!

Sekarang baru kau nak menyesali segala apa yang telah berlaku! Sudah tiada gunanya, Tuah. Kau hanya indah pada nama, tetapi bukan sifatnya!
Boleh kau berhenti mengutuk aku! Aku telah sedaya-upaya membaiki diri. Jangan pula kau sengaja hendak mengujinya.
Wah, cukup hebat! Hipokrit mana yang kau canang untuk mengaburi mata orang ramai? Hang Tuah yang aku kenal adalah pahlawan yang mempertahankan Tanah Melayu, tetapi engkau merosakkan identiti melayu!
Cukup! Cukup! Aku sudah tidak mahu dengar lagi! Cukup!
Kau harus menerima kenyataan ini, Tuah! Sampai bila-bila pun kau tidak akan bahagia setelah apa yang engkau lakukan terhadap orang lain terutamanya ibumu!
Cukup! Kau sengaja hendak memprovokasi aku! Sedang kau tidak tahu kau siapa!
Siapa aku?
Kau nafsu yang tidak pernah belas membunuh niatku! Kau juga harus faham, segalanya ada batasan. Aku juga seorang wanita, bukan sekadar pada nama tetapi hakikat yang telah Allah limpahkan kepadaku! Aku Tuah Srikandi! Dan akulah srikandi yang akan membuktikan kebenaran ini!

Cepat langkahnya dihayunkan. Beg galas yang berisi beberapa pasang pakaian disandangkan ke bahu kanan. Sesekali dia menoleh ke belakang, khuatir ada yang mengekori. Destinasi yang dituju telah pasti dalam pengamatan. Dia menoleh ke kiri dan kanan jalan. Beberapa buah kenderaan lalu di situ. Namun, belum ada tanda-tanda mahu berhenti. Tuah menyeka peluh di dahi. Walau berat bahu memikul, hatinya ringan dengan niat yang betul. Dia pasti, itulah yang terbaik.
“ Hendak ke mana, dik? ” Tuah tersentak! Bila pula ada teksi berhenti di bahu jalan? Dia tersenyum kelat.
“ Rumah Anak Yatim Mustaqim, encik.”
“ Bolehlah. Marilah naik.”
“ Tambangnya berapa? ”
“ RM15 sahaja.” Tuah mengira-ngira wang yang dibawanya. Masih ada baki tiga puluh lima ringgit. Cukup!
“ Baiklah.” Dengan harapan dan semangat juang yang baru dia memasang impian yang nyata. Niat dan azam yang memungkinkan kehidupan yang lebih mencabar. Hari muka, nantilah hadirku! Tunggu aku untuk membelah badaimu!

Ketukan pintu memecahkan kesunyian suasana. Tuah hanya memandang kosong apabila daun pintu diselak perlahan. Wajah Mak Iman terpacul di situ. Wanita itu hanya tersenyum, menampakkan tenunan perasaan yang berkocak gembira. Senyuman kecil berbalas kembali. Tuah masih dengan perasaannya yang berbaur pelbagai rasa. Antara yang nyata atau hipokrit semata.
“ Hadiah buat kamu.” Kotak kecil keemasan yang berbalut kemas usai sudah bertukar tangan.
Tuah tenang. Tiada sebarang keghairahan dalam reaksinya.
“ Dari siapa Mak Iman? ” balutan kecil itu di dibeleknya berkali-kali. Tiada nama. Tiada tanda.
“ Entahlah. Katanya kamu akan tahu selepas membukanya.”
“ Buka? Kalau macam tu, terima kasih Mak Iman. Tuah akan buka kemudian.”
“ Ikut suka kamulah. Mak Iman minta diri dulu. Sebelum terlupa, tadi Pak Aman kamu pesan, jangan ingat sangat perkara yang dah lepas tu.” Walau perit namun senyuman tetap dilemparkan. Mungkin benar apa yang diingatkan oleh Pak Aman. Kenapa perlu menyimpan perasaan dendam dan sakit hati yang masih berbaki. Berbaik sangka, itulah terbaik!
Kepalanya didongakkan. Pandangannya agak kelam. Mungkin kerana cuaca malam yang agak suram dan ada tanda-tanda hujan akan turun. Tuah berlari anak menuju ke perkarangan rumah anak yatim. Pintunya diketuk berkali-kali. Agak lama dia menunggu sebelum seorang wanita dalam lingkungan 60-an menguak pintunya. Matanya terkebil-kebil tidak pasti. Bibirnya bisu untuk mengukir sepatah ayat sekalipun. Dia terpaku kaku.
“ Assalammualaikum.”
“ Cari siapa? ” kemas soalan terpacul setelah salam terjawab. Tuah cuba memikirkan penyataan yang sewajarnya untuk diberikan.
“ Ada kerja kosong di sini? ” Pelik atau tidak soalan itu biarlah dia yang mentafsirkannya.
“ Ada, tetapi kenapa datang malam-malam macam ni.”
“ Saya.....saya...”
“ Tak apalah, mari masuk.”
“ Nama puan? ”
“ Panggil sahaja Mak Mah. Yang ini pula siapa namanya? ”
“ Saya Tuah.”
“ Tuah? ”
“ Tuah Srikandi, Mak Mah.”
“ Hebat nama kamu, pasti orangnya juga hebat.” Dia hanya tersenyum. Biarlah apa sekalipun tanggapan yang dilontarkan, Tuah sedar semua yang terjadi adalah ujian dari Allah. Telah disimpulkan tekad di hati, agar segalanya diterima telah sabar, sabar dan sabar!

Bungkusan kecil itu dibuka perlahan-lahan. Dia juga tidak pasti isi kandungannya. Di bahagian tepi, terselit sekeping nota ungu ‘ Lawsonia Inermis Buat Srikandi Kesayanganku ’. Tuah lantas menekup mulutnya. Sekali lagi, matanya dilinangi air mata yang tidak tergambar dengan kata-kata. Dia sudah mampu untuk mengagak siapa pengirimnya. Lantas isi kandungan hadiah dibuka. Sekotak serbuk inai yang pernah menjadi topik perbalahannya terhias di situ. Akhirnya, janji dikota, amanah terlaksana. Tuah menjenguk ke luar jendela. Di halaman rumah, empat buat kereta berderetan mengeluarkan isi perutnya. Dia pasti, salah seorang daripada  mereka adalah dia.

Bukan main gembira lagi kau kali ini!
Semestinya! Aku yakin dengan apa yang Allah kurniakan padaku.
Kau sudah mula lupa dengan apa yang pernah engkau lakukan.
Aku sememangnya harus melupakannya dan menjadikannya sebagai sempadan masa depanku!
Kau yakin!
Aku yakin! Kau yakin?
Aku?

Dari tadi dia asyik memerhatikan pokok inai di halaman Rumah Anak Yatim Mustaqim. Entah unsur apa yang menjadi bahan penarik juga tidak diketahui. Cuma, baginya inai adalah lambang wanita. Impian yang terbina dengan jalinan kasih antara dua insan akan disisipi dengan seri inai. Dia juga pernah mengimpikannya, tetapi tidak lagi kini. Dengan segala salah dan khilaf yang pernah dilakukan, angan yang kabur hanya tinggal mitos semata.
“ Awak tahu pokok ini pokok apa? ” dia tersentak! ‘ Musuh ’ sudah mula melemparkan persoalan.
“ Syeikh Muslimin, ini inai, takkan itu pun awak tak tahu.”
“ Srikandi, inai itu biasa, tahu apa yang luar biasa? ” sengaja dia mengerutkan. Bukan kerana soalan, tetapi kerana namanya yang disebut dalam sebutan yang berbeza.
“ Srikandi? ”
“ Srikandi, awaklah.”
“ Kenapa awak panggil saya macam tu? ” Syeikh Muslimin mengalihkan pandangannya tepat ke wajah Tuah. Gadis itu mula malu sendiri.
“ Kalau saya panggil awak Tuah, semuanya sudah menjadi suatu kebiasaan. Lagi pula, Tuah lebih sesuai untuk lelaki. Nama awak sedap, Tuah Srikandi! Kenapa tak panggil Srikandi, bersesuaian dengan sifat awak sebagai muslimah. Awaklah Lawsonia Inermis. Lambang seorang wanita. Jangan pandang rendah pada diri.” Lawsonia Inermis? Apa yang dia mengarut ni? Masakan ada orang lain yang akan menghargai sebaris nama!
“ Habis tu, Lawsonia Inermis tu apa pula? ”
“ Awak fikirlah sendiri.”

Tuah sudah tidak jenuh di birai katil. Jarinya disulami hiasai inai merah. Mak andam pula tidak henti-henti memuji seri wajahnya. Mungkin sifat kewanitaan yang tidak pernah terpancar kini terpamer jelas di persada jinjang masjid baru. Gementar, gabra, takut, segan dan segala macam perasaan sudah mula berbaur kencang di dalam sanubari. Tuah menarik nafas panjang, berdoa dalam hati, agar dipermudahkan segala urusan.
“ Tuah, cepat keluar.”
“ Baik Mak Iman.” Panggilan yang ditunggu sudah pun tiba. Dia bangun perlahan. Ditepi kiri dan kanannya diapit dua gadis muda. Dengan yakin dia melangkah. Kali ini biarlah buktinya jelas dan nyata. Dia Tuah Srikandi! Bukannya Hang Tuah yang dikatakan mempunyai kekeliruan sifat jantina yang nyata. Ingin dipamerkan jelas segalanya, dia juga akan mencapai impian yang menjadi taruhan setiap wanita.

Kaulah Lawsonia Inermis, inai merah yang menghiasi segenap kehidupan asal rusukmu. Kembalilah kau kepadanya. Dan aku sentiasa berdoa, kau akan bahagia.

NUR PILIHAN


Aku membuang pandanganku jauh ke ufuk Oktober. Fajar merah yang masih belum jemu menjemput tabir malam seakan-akan ingin mengundur diri. Awan kelabu pula berkejaran menebari bayangnya di segenap penjuru khazanah Allah di muka bumi. Aku melentokkan kepalaku ke birai jendela. Terasa nyaman hembusan bayu petang yang sengaja mengelus lembut pipiku. Di birai katil, bungkusan hantaran sudah siap disusun rapi. Cantik dan kemas. Sedari pagi tadi Umi dan beberapa orang saudara bertungkus-lumus menyiapkannya. Kini, aku sedar debaran yang semakin kental cuba menerjah ke dasar hati. Debaran yang aku sendiri mengakui kegusarannya. Esok! Hari yang bersejarah bagiku. Dengan keputusan yang telah abah putuskan seminggu lepas, bermakna aku akan bertentang mata dengannya, dengan insan yang tidak pernah aku temui seumur hidupku. Mungkin itu jalan yang terbaik supaya tidak terkandasnya aku di pusar perasaan yang tidak pernah puas.
            “ Zara!” tersentak aku!
            “ Apa Umi? ” 
            “ Nolong Umi nyiap makan malam lok. Umi nak ngan Abah pegi rumah Datin Hanisah. Mungkin Umi ngan Abah solat kat rumah sidaknya jak. Lepas Isyak baruk Umi balit. Masaklah apa-apa pun. Jangan pegi sini-sini. Sik ada orang kat rumah. Nolong nangga juak Alisya ya. Gik ralit nya nangga cerita.”
            “ Auk Umi.” Alisya yang masih jenuh di hadapan televisyen kubiarkan sahaja dengan lagatnya. Seketika kemudian ngauman Perodua Viva Abah meluncur ke perkarangan jalan. Sepi kembali bertandang. Mungkin Umi dan Abah ingin membincangkan dengan lebih terperinci tentang perkara seminggu lepas. Dan aku pula seakan-akan mengeyakan sahaja keputusan mereka. Mungkin kerana sikapku yang tidak pernah membantah kehendak Umi dan Abah. Walhal keputusan yang paling besar sekalipun. Aku harap, ini adalah yang terbaik untukku.

***
           
            Aku melepaskan nafas malasku di sofa coklat. Wajah comel Alisya yang masih jenuh di muka televisyen kuperhatikan. Sungguh, dia sememangnya cantik persis Umi. Dengan dua lesung pipit yang menghiasi kedua-dua belah pipinya, aku akui kadang-kadang aku cemburu. Tetapi, itu semua ketentuan Allah, pasti berhikmah. Aku ingat lagi ketika dia turut serta bersama abah dan umi, menghantarku ke Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menyambung pelajaranku dalam bidang Komunikasi dan Pengurusan Maklumat. Betapa gembiranya dia apabila diajak berjalan-jalan keliling kampus. Pernah sekali dia turun dari kereta Abah gara-gara hendak memberikan sedikit makanan pada monyet-monyet yang berkeliaran di jalanan. Aku yang naik cemas dibuatnya, namun wajahnya memancarkan keriangan apabila salah seekor monyet tersebut mengambil makanan yang ada ditangannya. Sungguh, tika itu aku benar-benar kalut.
            “ Alisya!”  
            “ Kenak kak? ”
            “ Jangan....” Aku memandang wajahnya sejenak. Seketika kemudian aku kembali menatap skrin televisyen. Berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku.
            “ Akak tuk kenak? Tiba-tiba jak menjerit, terkejut kamek! ” Aku hanya membisu, membiarkan persoalan bermain di mindanya. Kenapalah agaknya fikiranku seringkali melayang sejak akhir-akhir ini? Sampai terjerit lagi. Bukannya ada monyet pun dalam rumah ini. Hah, sudah! Lebih baik aku pergi ke dapur untuk menyiapkan hidangan  makan malam. Tetapi, aku hendak masak apa?
            “ Alisya maok makan apa? Akak masak. ” dia kulihat berfikir sejenak. Kemudian perlahan-lahan dia bangun dan melabuhkan punggungnya di sebelahku. Seakan- akan ada sesuatu yang tidak kena sahaja lagatnya. Dia kemudiannya merangkul kemas lenganku.
            “ Akak, Alisya maok nanyak sigek soalan, boleh sik? ”
            “ Lum agik dijawabnya soalan orang, sik apa, tanyaklah. Apa? ”
            “ Mun kamek nanyak, sik boh manas. Janji? ”
            “ Tanyak jak sia.” Alisya mempamerkan senyum sumbingnya. Terkial-kial dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pasti soalan yang hendak ditujukan adalah soalan yang mustahak.
            “ Benakah akak nak bertunang ngan Ustaz Fahmi? ” Wah! Soalan cepumas! Bijak betul soalannya. Tetapi, tiba-tiba sahaja wajahnya bertukar sugul, entah apa sebenarnya yang tersirat di sebalik hati anak kecil berumur sembilan tahun ini agaknya. “ Mun akak dah bertunang, mesti akak akan nikah ngan nya. Lepas ya akak mesti ngikut nya. Tinggallah Alisya sorang-sorang jak kat rumah tok.” Aku tidak segera menjawab. Bagaimana harus aku menerangkan kepadanya bahawa aku sendiri juga tidak pasti dengan keputusan yang telah aku putuskan. Adikku sayang! Kau harus memahami bahawa kau juga akan melalui perkara yang sama. Itu fitrah manusia! Namun, aku masih yakin, dia seorang lelaki yang baik. Kalau tidak masakkan abah beriya-iya hendak menjodohkan aku dengannya, sedang aku tahu Abah seorang pemilih. Ya Allah, engkaulah penguat jasad dan jiwa ini. Bantulah hamba-Mu ini!
            “ Dahlah ya. Akak sik kisah gilak pun. Jodoh ya di tangan Allah. Mun jadi, jadilah. Mun sik, wallahualam. Kelak, mun Alisya dah besar, Alisya akan faham apa semua tok. Jangan bena lak mikirnya, okey.” Aku segera meninggalkan dia yang masih terkial-kial sendirian. Matanya terkebil-kebil memandang bibirku yang tidak tercalit sedikitpun senyuman. Mungkin kematangan yang terserlah di sebalik umurnya yang masih muda memberanikannya bertanyakan soalan yang sepatutnya ada jawapan. Patutnya aku lebih bersedia, hatiku berbisik sendirian. Hah, sudahlah! Biarlah Allah yang menentukan segalanya setelah apa yang aku usahakan. Dan sekarang biarlah aku sahaja yang  memutuskan menu apa yang harus jadi hidangan malam ini.

***
           
            Aku memerhatikan jam di dinding. Alisya sudah lama lena dibuai mimpi. Dudukku di kerusi malas sudah tidak lagi jenuh. Kenapa Umi dan Abah tidak balik lagi? Tadi kata Umi selepas Isyak, tetapi sekarang sudah hampir 11 malam. Masakkan perkara yang dibincangkan tidak habis-habis lagi. Bukankah aku sudah memberikan kata putus. Apa lagi yang perlu dipersoalkan. Mungkin, ada perkara lain yang lebih mustahak agaknya. Tetapi, sekurang-kurangnya Abah maklumkan kepadaku, supaya aku tidak risau. Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami, Ya Allah!
            “ Assalammualaikum.” Aku tersentak! Itu bukan suara Umi, tetapi siapa yang datang dalam waktu begini?
            “ Waalaikumsalam.” Aku mempercepatkan langkahku ke muka pintu. Perlahan-lahan daunnya kubuka luas. Seketika mataku tertatap pada seraut wajah itu, kaku. Belum ada sebarang reaksi. Sebelum sempat aku berkata apa-apa, tubuhku terlebih dahulu berada dalam dakapannya. Aku membiarkan, tidak mampu melakukan apa-apa lagi.
            “ Sayang adik akak. Sehatkah? ” mulutku bagai terkancing lagatnya. Tidak tahu apa yang harus aku katakan. Lama kami begitu, namun aku masih membisu. Akhirnya, perlahan-lahan dakapannya terurai.
            “ Kenak? Sik suka akak datang sitok? ” Entah mengapa saat itu kurasakan laju sahaja mutiara jernihku menyimbah ke lurah pipi. Satu demi satu titisannya mengalahkan kebisuan yang sekian lama aku pendamkan. Dalam sedar aku mendamba pilu.
            “ Hisy, sik bohlah nangis. Akak datang sitok pun nangis juak. Balitlah mun cam ya.” Dia sengaja membalikkan langkahnya ke halaman rumah. Cuba menguji hati dan perasaanku.
            “ Kenak akak sik telepon dolok tek? Terkejut kamek. Dahlah lamak ada sik balit. Fikirkan dah lupak ngan orang kat rumah.” Sengaja aku mempamerkan wajah sugulku. Memprotes kedatangannya yang tidak dimaklumkan terlebih dahulu. Apatah lagi setelah hampir dua tahun usia perkahwinannya dengan Abang Shahrieman termaktub. Kak Zaleha tersenyum, menampakkan manis wajahnya yang seringkali mengubat luka yang betandang megah.
            “ Eh! Akak telepon ngan Abah tek. Abah sik madahkah? Kan esok adik akak nak bertunang, mestilah akak datang. Sikkanlah akak nak nandah macam ya jak. ” Dia mengelus lembut rambutku yang sedikit terurai. Terasa ikhlas kasih sayang yang sekian lama tidak aku rasai. Akak, aku masih keliru dengan keputusanku.
            “ Sik ada pun abah madah ngan kamek. Mun sik pun, antalah mesej, kan ada handset.” Kak Zaleha hanya tersenyum. Kakinya kini berinjak ke ruang tamu. Daun pintu sekali lagi kututup rapat. Tidak memberi ruang kepada sang pengawal malam yang berniat sinis untuk mengambil kesempatan.
            “ Akak mikir Abah dah madah tek. Macam ni. Okey sik? ” Wajah Kak Zaleha yang sudah kemas di sofa kupandang sekilas.
            “ Entahlah kak. Rasa macam sik nyaman jak nyawa tok. Dahlah sik pernah jumpa gik ngan Ustaz Fahmi. Entah macam nilah rupanya.” Aku cuba membayangkan wajah lelaki itu dengan sejemput janggut dan kopiah yang ada di kepala. Mungkin itu tafsiran biasa yang digambarkan kepada seorang ustaz yang bertugas di institut pengajian tinggi. Daripada apa yang abah beritahu, Ustaz Fahmi merupakan pensyarah baru di Universiti Kebangsaan Malaysia. Baru sahaja bertugas enam bulan yang lepas. Kata abah lagi, dia merupakan anak tunggal keluarga Datuk Syukri dan Datin Hanisah, kawan baik abah ketika menunaikan haji tahun lepas. Selamatlah aku yang dijodohkan!
            “ Akak rasa macam ni? ”
            “ Rasanya sik ada masalah. Sik apa, esok kita sama-sama nangga nya. Eh! Ni Abah ngan Umi? ” 
            “ Tadik sidak duaknya pegi rumah Datin Hanisah. Sik tauk kamek apa dipolah sidaknya. Sik pulang-pulang gik tok.”
            “ Ooo..sik apalah. Akak lapar la sayang, ada masak apa-apa sik? ” aku hanya tersenyum melihat gelagat akak. Terhapus sudah segenap perasaan sedih yang tiba-tiba memuncak tadi. Sememangnya akak sangat bijak dalam menyusun kata. Kalau tidak masakkan Abang Sharieman sangat sayang padanya, Cuma mungkin kali ini Abang Sharieman tidak dapat turut serta kerana ada kerja yang perlu diselesaikan. Ah! Tidak mengapa, itu sesuatu yang lazim dan aku juga bakal merasainya.

***

            Hari yang dinanti, tersergam gah. Aku tunduk membisu. Mempamerkan wajah jernih, seakan-akan tidak kalut dengan apa yang sedang berlaku. Pipiku mula merona merah, menonjolkan kejanggalanku dalam situasi yang aku sendiri tidak pasti pengakhirannya. Umi tersenyum, cuba memujuk rawan hatiku yang kian malu. Ya Allah! Apa yang harus aku lakukan tika ini? Sungguh, aku rimas!
            “ Zara, sitok sayang. Ustaz Fahmi nak nangga muka kitak dengan lebih dekat gik.” Bah! Permintaan Umi benar-benar membunuh ketenanganku. Bagaimana aku bisa berganjak dari kedudukkanku dalam keadaan kakiku kaku. Umi, tolonglah!
            “ Zara? ” Aku tersentak! Pantas sahaja pandanganku dilemparkan ke wajah Umi. Memberanikan diri untuk menerima kenyataan yang sememangnya pasti. Dengan seluruh kudrat yang ada, aku berusaha untuk bangun. Perlahan-lahan, aku duduk bersimpuh di sebelah Umi. Persis lagat seorang anak gadis yang ingin mengadu masalah! Memang aku sedang menghadapi masalah besar. Umi, dengarlah jeritan hatiku!
            “ Umi kenalkan, ya Ustaz Fahmi Muslimin, anak Datuk Syukri ngan Datin Hanisah. InsyaAllah, nyalah yang bakal jadi suami Zara.” Berbekalkan sedikit kekuatan yang masih berbaki, aku menguatkan iltizamku untuk memandang alis wajah yang seharusnya aku kenali. Aku harus lakukannya. Aku tidak ingin menghampakan harapan umi dan abah. Dan yang paling penting, aku lakukan segalanya kerana Allah Taala.
            Ya Allah, dengan nama-Mu yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, aku sandarkan segala takdirku hanya kepada-Mu, berikanlah aku kekuatan! Aku meyakinkan tekadku. Dengan niat yang berat, aku memandangnya. Subhanallah! Sungguh, aku terpana seketika. Wajahnya benar-benar bersih dan bercahaya. Tenang dan membuatkan perasaanku jadi tidak keruan. Mungkin tafsiran yang pernah aku canangkan benar. Dia berwajah sederhana, dengan sejemput janggut yang menurut sunnah Rasulullah s.a.w. Kopiah putih likat melindungi ubun-ubun yang seharusnya dijaga. Lantas aku menundukkan wajah dengan kalimah Allah yang masih meniti di bibir kekaguman. Aku rasakan seluruh dunia sedang menoleh ke arahku. Tabahkan hati, Zara!
            “ Macam mana Fahmi? ” Datuk Syukri sudah mula membuatkan benakku kacau. Aku hanya menanti sahaja jawapan yang akan keluar dari bibir Ustaz Fahmi. Biarlah apa sekalipun tanggapannya pada aku. Aku sudah tidak peduli. Apa yang paling penting, cepatlah usai majlisnya.
            Kebisuan yang berpanjangan mula membuatkan aku lemas sendiri. Jiwaku memberontak inginkan kepastian yang nyata. Secepat dan sepantas yang boleh, agar tidak diriku dibelenggu firasat-firasat yang kurang menyenangkan. Aku masih bersabar dengan degup perasaan yang kian kencang.
            “ Fahmi terima, Abi! ” Terasa disentap jantungku. Apa aku tidak salah dengar. Apa pendengaranku masih pada tahap normal. Dia menerimaku? Serius?
            “ Fahmi setuju terima Zara untuk jadi bakal isteri Fahmi. Bukan sebab Abi paksa atau Umi paksa, tetapi atas kerelaan Fahmi sendiri. Fahmi dapat rasakan, Zara adalah seorang muslimah yang baik.” Nah! Jawapan yang sudah pasti daripada pihaknya. Pengumuman yang spontan dan lansung tidak gentar. Bagaimana dia bisa mentafsirku dengan hanya sekadar pandangan luaran sahaja? Dia sememangnya lantang bersuara.
            “ Zara pula? ” Aku? Aku juga perlu memberikan jawapan? Hah, Kak Zaleha! Mataku meliar mencari kelibat kakak kesayanganku. Aku perlukan inspirasi, aku perlukan dorongan dan sokongan. Akhirnya, jasadnya kukenal pasti. Dia yang duduk bersama Alisya di sebelah abah hanya menghadiahkan senyum senangnya padaku. Pasti akak berkenan!
            “ Zara? ”
            “ Ya, Umi? ”
            “ Macam ni tek? ” Aku hanya mendiamkan diri dengan senyum kecil yang terukir jelas. Aku harap umi akan mengerti maksud yang aku sampaikan. Dan Ustaz Fahmi mungkin lebih tenang dengan keputusan yang aku gambarkan.
            “ Nampaknya Datuk, anak saya pun dah setuju. Perempuan biasalah, kalau dah lama sangat diam, setujulah maksudnya. Siap senyum lagi.” Aku jadi malu sendiri. Umi memang sengaja mengenakan aku.
            “ Alhamdulillah, Ya Allah. Nampaknya, sekarang kita cuma nak tunggu bakal ibu mertua sarungkan cincinlah pula. Moga-moga dipermudahkan segala urusan kita.” Datuk Syukri memberikan isyarat tangannya kepada Datin Hanisah. Pantas sahaja dia bangun dan mendekatiku. Gementar yang bergeseran dalam benakku hanya Allah yang tahu. Mungkin perasaan inilah yang Kak Zaleha pernah rasai dahulu. Tetapi situasi kami berbeza. Dia dengan pilihannya. Dan aku dengan pilihan keluarga.
            Datin Hanisah menarik jari manisku perlahan, lembut dan penuh dengan kesopanan. Kelebihan yang Allah berikan pada para hamba-Nya yang beriman. Lantas, cincin permata yang menjadi lambang ikatan pertunangan, tersarung kemas di jariku. Aku menyalaminya dengan titis air mata yang sudah mula membasahi lurah pipi. Sungguh, pertama kalinya aku rasa benar-benar dewasa. Pandanganku mula beralih ke wajah Umi dan Abah. Tawa kecil mereka menguntum di situ. Jelas terpancar kebahagiaan yang tidak berbelah bahagi. Kemudian mataku menyorot pula ke arah Kak Zaleha dan Alisya. Kak Zaleha hanya melemparkan alis manisnya. Alisya pula sengaja menghantar isyarat mata, menandakan bahawa dia senang untuk menerima orang baru dalam keluarga kami. Aku beristighfar dalam diri, memanjatkan sepenuh kesyukuranku  di atas kekuatan yang telah Dia berikan. Mungkin aku sendiri juga tidak menduga, majlis ini akan menjadi titik sejarah kepada sebuah kehidupan yang baru. Tetapi, Allah itu Maha Besar, dia memberikan kebahagiaan dalam segenap hati yang rapuh untuk aku berdiri lebih teguh. Sesungguhnya Engkau Maha Penyayang!
            “ Bila lagi nak diadakan majlis rasminya, Datuk. Rasanya, tak usahlah dilengahkan terlalu lama. Kedua-duanya pun dah setuju. Sebaiknya dipercepatkan.” Riuh suasana majlis tika itu menenggelamkan aku terkial-kial sendirian. Bukan kerana aku minor, tetapi kerana aku lebih selesa mendengar keputusan ramai.
            “ Fahmi, macam mana? ” Aku memberi perhatian padanya kali ini. Semua hadirin terdiam sejenak. Menunggu butir kata yang bakal lahir dari pihak lelaki. Dia juga memalingkan pandangannya ke arahku. Seketika kami bertentang mata. Akhirnya aku tunduk, kalah dengan sinaran matanya yang telah memberikan jawapan yang pasti.
            “ Seeloknya dipercepatkanlah abi. Fahmi rasa itulah yang terbaik.” Keadaan kembali riuh dengan senda tawa dan senyum para hadirin. Hingar bingar yang menerjah ke telinga, kubiarkan berlalu begitu sahaja. Semua itu tidak mungkin dapat memecahkan danau gementaran yang menghiasi segenap penjuru jiwaku dengan jawapan yang telah diungkapkan sebentar tadi. Hanya yang mampu aku lakukan hanyalah berdoa. Berdoa agar dibukakan pintu rahmat dan kesejahteraan, dibekalkanku dengan kesabaran, dan diuntaiku dengan rantaian kebenaran. Wahai pembina masjid Allah! Bersedialah dengan tapak dan pengisiannya. Kerana akan berkayuh kami ke lembah sunnah, yang telah diamalkan Rasulullah, untuk menggapai redha Allah.

HADITH SEKITAR SOLAT



Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa yang solat berjemaah kemudian duduk berzikir hingga terbit matahari kemudian solat 2 rakaat (sunat dhuha) maka ia akan mendapat pahala haji dan umrah yang sempurna" H.R.Tarmizi.

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa yang berjalan untuk solat fardhu maka pahalanya seperti orang yang mengerjakan haji dan jika ia berjalan untuk solat sunat maka pahalanya seperti orang yg mengerjakan umrah sunat" H.R.Attabrani.

Rasulullah s.a.w bersabda :
"2 rakaat solat sunat fajar itu pahalanya lebih baik daripada dunia seisinya" H.R. Muslim & Tarmizi.

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka" H.R.Attabrani.

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesungguhnya apabila seseorang hamba berdiri untuk solat maka diletakkan semua dosa-dosanya diatas kepaladan kedua bahunya. Setiap kali ia rukuk atau sujud akan berjatuhlah dosa-dosanya itu" H.R.Attabrani.

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas zohor sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka”
H.R.Abu Daud & Tarmizi.

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna maka keluarlah dosa dari tubuhnya sehingga dari bawah kukunya juga" H.R.Muslim..

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Malaikat akan berdoa untuk kamu selama kamu masih berada didalam masjid dan melakukan solat dan selama kamu tidakberhadas. Berkata Malaikat "Ya Allah
ampunilah dia dan turunkanlah RahmatMu kepadanya" H.R.Bukhari.

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa yang solat Isyak berjemaah maka bagaikan bangun (beribadah) ½ malam dan (pada esok paginya) ia mengerjakan solatSubuh secara berjemaah juga maka (pahalanya) bagaikan bangun semalaman (penuh). H.R.Muslim & Ahmad.

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Apabila kamu rasa ada angin didalam perutmu kemudian kamu ragu adakah ianya telah keluar atau belum, maka janganlah keluar dari solatmu sehingga jelas terdengar bunyi atau tercium baunya" H.R.Muslim

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Tidak takutkah orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (mengangkat kepalanya), kelak akan digantikan kepalanya dengan kepala kaldai" H.R.Sahih Muslim.

Rasullulah s.a.w bersabda :
"Solat dengan bersiwak (mengosok gigi) lebih afdal (baik) dari 70xsolat tanpa siwak" H.R.Zanjawaih & Hakim.

Rasullulah s.a.w bersabda :
"Solat sunat atau fardhu dengan memakai serban menyamai 25x solat yang tidak memakai serban dan solat jumaat dengan memakai serban menyamai 70x Jumaat tanpa memakai serban" H.R.Ibn'Asakir

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Malaikat senantiasa berdoa untuk kamu selama ia berada ditempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas" H.R.Bukhari & Muslim.

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Apabila imam bangun dari rukuk serta membaca doa, maka hendaklah kamu membaca "Allahuma Rabbana lakalhamdu" kerana sesiapa yang berkebetulan bacaannya dengan bacaan Malaikat, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu" H.R.Bukhari & Muslim

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan mailakatNya pula mendoakan bagi orang-orang yang sembahyang pada saf yang pertama" H.R. Ahmad & Abu Daud

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa yang berwuduk padahal ia masih ada wuduk, maka dicatat untuknya sepuluh hasanat" H.R.Abu Dawud

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja,maka ia kafir terang-terangan" H.R.Attabrani

BALASAN MENINGGALKAN SOLAT


Diriwayatkan bahwa pada suatu hari Rasulullah S.A.W sedang duduk bersama para sahabat, kemudian datang pemuda Arab masuk ke dalam masjid dengan menangis.
Apabila Rasulullah S..A.W melihat pemuda itu menangis maka baginda pun berkata, "Wahai orang muda kenapa kamu menangis?"
Maka berkata orang muda itu, "Ya Rasulullah S.A.W, ayah saya telah meninggal dunia dan tidak ada kain kafan dan tidak ada orang yang hendak memandikannya."
Lalu Rasulullah S.A.W memerintahkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. ikut orang muda itu untuk melihat masalahnya. Setelah mengikut orang itu, maka Abu Bakar r.a dan Umar r.s. mendapati ayah orang mudah itu telah bertukar rupa menjadi babi hitam, maka mereka pun kembali dan memberitahu kepada Rasulullah S.A.W, "Ya Rasulullah S.A.W, kami lihat mayat ayah orang ini bertukar menjadi babi hutan yang hitam."
Kemudian Rasulullah S.A.W dan para sahabat pun pergi ke rumah orang muda dan baginda pun berdoa kepada Allah S.W.T, kemudian mayat itu pun bertukar kepada bentuk manusia semula. Lalu Rasulullah S.A.W dan para sahabat menyembahyangkan mayat tersebut.
Apabila mayat itu hendak dikebumikan, maka sekali lagi mayat itu berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam, maka Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada pemuda itu, "Wahai orang muda, apakah yang telah dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia di dunia dulu?"
Berkata orang muda itu, "Sebenarnya ayahku ini tidak mahu mengerjakan solat." Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda, "Wahai para sahabatku, lihatlah keadaan orang yang meninggalkan sembahyang. Di hari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah S.W.T seperti babi hutan yang hitam."
Di zaman Abu Bakar r.a ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka menyembahyanginya tiba-tiba kain kafan itu bergerak. Apabila mereka membuka kain kafan itu mereka melihat ada seekor ular sedang membelit leher mayat tersebut serta memakan daging dan menghisap darah mayat. Lalu mereka cuba membunuh ular itu.
Apabila mereka cuba untuk membunuh ular itu, maka berkata ular tersebut, "Laa ilaaha illallahu Muhammadu Rasulullah, menagapakah kamu semua hendak membunuh aku? Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. Allah S.W.T yang memerintahkan kepadaku supaya menyeksanya sehingga sampai hari kiamat."
Lalu para sahabat bertanya, "Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mayat ini?"
Berkata ular, "Dia telah melakukan tiga kesalahan, di antaranya :"
1. Apabila dia mendengar azan, dia tidak mahu datang untuk sembahyang berjamaah.
2. Dia tidak mahu keluarkan zakat hartanya.
3. Dia tidak mahu mendengar nasihat para ulama.
Maka inilah balasannya.