DOA RABITHAH


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..


Memaparkan catatan dengan label SIRAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SIRAH. Papar semua catatan

SEJARAH BERMULANYA PERJUANGAN ISLAM

Sejarah perlawanan di antara manusia bermula dengan bermulanya kehidupan manusia di muka bumi. Peristiwa perlawanan di antara hak dan batil yang pertama adalah pertelingkahan di antara Qabil dan Habil, anak Nabi Adam a.s. kerana perasaan dengki. Qabil merasa dengki terhadap Habil kerana Allah s.w.t hanya menerima korban dari Habil lalu bercita-cita untuk membunuhnya.

Namun di dalam peristiwa ini tiada unsur perjuangan menentang kejahatan. Oleh kerana mereka adalah bersaudara dan sama-sama beriman kepada Allah, Habil tidak cenderung untuk bertindak balas dengan membunuh Qabil pula sekalipun dia berhadapan dengan ancaman. Allah swt merakamkan sikap lembut Habil terhadap saudaranya dalam firman-Nya dalam surah al-Ma’idah, ayat 28 yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang mentadbirkan sekalian alam.”

Lalu ulama Islam telah menjadikan kisah ini sebagai teladan di dalam masalah hukum shial berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud bermaksud: “Hendaklah kamu menjadi seperti salah seorang yang lebih baik dari dua anak Adam.”

Apabila orang yang menyerang adalah muslim, maka hukum melawannya adalah harus, bukan lagi wajib. Sejarah perjuangan Islam pula bermula dengan sejarah penyelewengan manusia aqidah Islam iaitu pada zaman Nabi Nuh a.s. Penyelewengan itu adalah dari sudut uluhiyah apabila manusia mula mendewa-dewakan ulama-ulama mereka dengan membuat patung untuk mengenang mereka. Akhirnya mereka menyembah patung-patung Wadd, Yaghuth, Suwa’, Ya’uq dan Nasr. Rasulullah s.a.w sendiri menyatakan bahawa rasul yang pertama dalam konteks menyeru manusia kepada tauhid adalah Nabi Nuh a.s. Sabda baginda: “Yang pertama dari kalangan rasul adalah Nuh a.s” (dalam kitab al-wasa’il ila ma’rifat al-awa’il).

Oleh kerana seruan Nabi Nuh a.s. adalah kepada La ilaha illa Allah, maka baginda menghadapi tentangan yang mencetuskan perjuangan mempertahankan aqidah dan kebenaran. Perjuangan Islam di sepanjang zaman sebenarnya dipimpin oleh para nabi a.s. Tidak ada walau seorang nabi pun yang tidak menghadapi suasana dan realiti perjuangan kerana Allah s.w.t telah meletakkan ujian dan cabaran sebagai suatu sunnah dalam Islam. Bukan sahaja generasi sekarang atau generasi zaman Rasulullah s.a.w, bahkan seluruh umat-umat yang terdahulu telah dihadapkan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi.

 Ujian dan cabaran itu diadakan dengan tujuan supaya dapat dibuktikan siapakah yang benar-benar beriman dan siapakah yang berpura-pura dan tidak bersungguh-sungguh. Sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya dalam surah al -Ankabut ayat 2 - 3 bermaksud:

“Apakah manusia menyangka bahawa kami akan membiarkan mereka begitu sahaja selepas mereka menyatakan: kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji [2]. Sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang terdahulu lalu Allah swt mengenal pasti orang-orang yang benar dan Dia mengenal pasti orang-orang yang dusta.”

Demikian juga telah diterangkan bahawa setiap utusan Allah itu menyeru manusia supaya beriman kepada Allah dan dalam masa yang sama menjauhi thaghut iaitu setiap benda dan perkara yang melampaui hak-hak Allah. Sejak manusia diturunkan ke bumi hingga ke tahun ke-11 Hijrah, umat manusia yang memeluk Islam dipimpin oleh para nabi. Bermula dengan Nabi Adam a.s. diikuti Nabi Idris, Nuh, nabi-nabi lain yang diakhiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. semuanya menyeru dengan seruan yang sama dan menghadapi cabaran yang pelbagai kerana sebab yang sama. Ini dijelaskan dalam dalam surah al-Furqan, ayat 31 bermaksud:

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah. Dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi penolong (bagimu terhadap mereka).”

Seterusnya perjuangan Islam masih diteruskan walaupun perutusan para nabi telah ditamatkan. Allah s.w.t telah meletakkan tanggungjawab menyampaikan risalah Islam kepada umat Nabi Muhammad s.a.w pula. Perkara ini dijelaskan dalam ayat 110, surah Ali Imran bermaksud:
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)...”

Tidak seperti umat-umat dahulu yang dipimpin oleh para nabi dan rasul, umat Nabi Muhammad s.a.w telah diberi kepercayaan dan kelebihan untuk meneruskan perjuangan dengan pimpinan para pengganti nabi yang diistilahkan sebagai khalifah atau imam. Al-Imam al-Mawardi rahimahullah. telah menjelaskan bahawa tujuan dan tugas imamah adalah ‘mengganti Rasulullah s.a.w bagi melindungi agama serta mentadbir dunia.’ Ibnu Khaldun di dalam Muqaddimahnya pula mendefinisikan al-khilafah sebagai ‘membawa seluruh manusia berada di atas landasan syariat Allah s.w.t bagi tujuan mencapai kepentingan akhirat dan urusan-urusan keduniaan yang menguntungkan akhirat. Maka khalifah disimpulkan sebagai mengganti Rasulullah s.a.w dalam menjaga agama dan menguruskan dunia berdasarkan agama. Demikian juga dijelaskan dalam hadith Rasulullah s.a.w yang menjelaskan tentang peranan para nabi dalam kepimpinan dahulu sedangkan umat ini akan dipimpin oleh pengganti Rasulullah s.a.w. selepas wafatnya baginda dan tamatnya zaman kenabian. Hadith tersebut bermaksud:

 “Adalah Bani Isra’il itu dipimpin oleh nabi-nabi. Setiap kali mati seorang nabi, ia diganti oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tiada nabi lagi selepasku, dan akan ada khalifah-khalifah yang mereka itu ramai.” (Riwayat Muslim).

Pemimpin yang menggantikan para nabi adalah orang-orang yang paling mengetahui dan memahami urusan agama ini. Kerana itulah, perjuangan selepas zaman Rasulullah s.a.w kebanyakannya adalah dipimpin oleh ulama’-ulama’ Islam. Para nabi tidak mewariskan pusaka dalam bentuk harta tetapi mereka mewariskan amanah ilmu dan amanah perjuangan Islam. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Ulama’ adalah pewaris nabi-nabi.” (Riwayat Abu Daud).

Apabila meneliti sejarah perjuangan umat Islam di mana sekali pun, kita akan dapati bahawa perjuangan mereka dipelopori oleh ulama’-ulama’ yang mempunyai kesedaran terhadap kewajipan berjihad menyebarkan dan mempertahankan Islam.

KISAH RASULULLAH





Jadilah suami soleh yg mengikut sunnah Rasulullah dlm hal2 lain juga selain poligami...

Kisah Rasulullah sebagai pengajaran Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.

Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang."

Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." "Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s. a. w. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?" "Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?" Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."

Rasulullah s. a. w. bersabda,"SAMPAIKANLAH PESANKU WALAUPUN SEPOTONG AYAT.."