DOA RABITHAH


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..


Memaparkan catatan dengan label TAZKIRAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TAZKIRAH. Papar semua catatan

RINTIHAN AL-QURAN


"Sejauh manakah abad telah berlalu? Sepantas manakah usia dimamah beku? Sekian apakah yang telah merentap keinsafan di dada insan, hingga lena tak pernah mengah menjamah alpa dan kaku? Perlukah rintihan ini bergema, kerana suaranya tak pernah meresap tangkai jiwa, sekalipun usia dunia sedekad demi sedekad berputar.

Perlukah untuk sebuah rintihan ini, melagukan kekesalan, atas setiap kealpaan yang tak pernah usang di mata insan. Hakikatnya, manusia tetap memandang lesu pada Kalam Suci wahyu Ilahi ini…

Terlupakah duhai insan, tatkala Jibril mendakap erat Rasul junjungan, Kalam Suci ini yang diucapkan. Terlupakah duhai insan, tatkala dakapan dileraikan, Kalam Suci ini jua yang diungkapkan. Dan masih terlupakah duhai insan, tatkala bergetar tubuh Rasul pilihan, kalam ini jua menjadi pengubat sebuah keresahan.

Andai bisa kau dengar duhai insan, betapa diri ini merintih sayu, tatkala debu- debu berterbangan, menutup seribu bahasa keindahan, yang terkandung dalam kalimah dan wanyu suci ini. Andai bisa kau dengar duhai insan, betapa diri ini terkilan untuk sebuah kealpaan yang terhidang, hingga Kalam Ilahi ini tertutup rapat tanpa sebuah sentuhan…

Untuk apa kujadi pilihan, seandainya sekadar ditonton segenap keindahan? Untuk apa kujadi pilihan, seandainya sekadar untuk disimpan? Dan untuk apa Kalam Suci ini memenuhi segenap ruangan, seandainya sekadar satu perhiasan? Aduhai yang bergelar insan, tidakkah terlintas di hati kalian untuk menggemakan alam dengan suara- suara melafazkan Kalam Suci Tuhan?

Tidakkah terasa kekerdilan, kerana segenap makhluk Tuhan tak pernah alpa melagukan pujian dalam versi kesyukuran dan keinsafan? Aduhai malangnya umat terakhir ini sering dilapah kelalaian. Sedangkan usia dunia, sejengkal, belum pasti kau bias bertahan…

Ya Tuhan, dalam rintihan kudus ini, betapa sunyinya sebuah Kitab Suci ini, tanpa suara yang ingin melafazkan kalimah-Mu. Betapa sebuah Kitab Suci ini, merindukan segenap suasana dalam sirah terdahulu. Bila Rasul dan para sahabat berlumba- lumba mengejar ma’rifat, bersatu memohon maghfirah, mengucap Kalam- kalam Suci ini tanpa ada lena yang membeku jiwa. Aduhai insan… seandainya terpanggil jiwa dan dirimu, mendakap sebuah kitab suci ini, alunkanlah segenap suara, membaca perutusan Tuhan, menjenguk sebuah keinsafan, kerana tiada seindah bahasa, seelok pujangga, sebenar- benar kalimah, melainkan sebuah kitab; yang tertulis di dalam Al-Quran, wahyu Ilahi.

Padanya ada jutaan makna tersimpan; dan sebuah yang tertulis Al-Quran jua, merintih untuk segenap kealpaan insan, membiarkannya usang, ditelan masa dan arus kekosongan, tanpa suara keinsafan…


ZINA


SUATU hari seorang wanita yang hamil kerana perzinaan datang bertemu Rasulullah s.a.w. Dia meminta supaya baginda menjatuhkan hukuman rejam ke atasnya. Bagaimanapun Rasulullah memanggil wali wanita itu dan bersabda, Jagalah dia baik-baik dan apabila dia sudah melahirkan anak, bawa dia kepadaku. Selepas melahirkan anak, wanita berkenaan sekali lagi mengadap Rasulullah dan dia dihukum rejam sampai mati. Baginda menyempurnakan sembahyang jenazah untuknya.


Ketika itu Umar al-Khattab bertanya, Ya Rasulullah, kenapa Tuan menyembahyangkannya, sedangkan wanita itu telah melakukan zina? Rasulullah s.a.w. menjawab, Dia telah bertaubat, jika taubatnya dibahagikan kepada 70 orang di Madinah ini, ia masih mencukupi. Apakah ada orang yang lebih utama daripada seseorang yang telah menyerahkan dirinya kepada hukum Allah?'

Sememangnya di dalam menjalani kehidupan di alam fana ini, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Malah ada ketikanya ketenangan kita sering diganggu oleh dosa-dosa silam yang pernah kita lakukan. Ketika itu kita menjadi resah dan mungkin juga ada yang menitiskan air mata mengenang dosa-dosa yang pernah dilakukan. Namun menitiskan air mata sahaja tidak akan dapat memberi ketenangan kepada kita. Justeru, tiada jalan yang lebih baik selain menginsafi dosa-dosa yang telah kita lakukan dan bertaubat kepada Allah kerana sesungguhnya sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang-orang yang suka bertaubat.

Rasulullah s.a.w. bersabda, Seorang yang berbuat dosa lalu membersihkan diri (berwuduk atau mandi), kemudian dia solat dan memohon pengampunan Allah, maka Allah akan mengampuni dosanya.

Setelah berkata demikian Baginda mengucapkan firman Allah surah Ali Imran ayat 135 yang bermaksud, Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun atas dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu sedang mereka mengetahui. Taubat berasal daripada perkataan taaba-yatuubu-taubatan, iaitu kembalinya seorang hamba kepada Allah s.w.t. daripada segala perbuatan dosa yang pernah dilakukannya. Golongan sufi menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama yang harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk mencapai ma'rifatullah (hakikat). Adalah sesuatu yang sia-sia jika seseorang hamba itu terus melompat ke atas anak tangga seterusnya seperti zuhud, warak dan sabar tanpa terlebih dahulu membersihkan dirinya daripada segala dosa yang pernah dilakukannya dengan cara meminta keampunan kepada Allah dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.

Taubat harus dilakukan dengan segera tanpa menunggu ajal tiba, ini kerana taubat yang dilakukan ketika nyawa sudah di kerongkongan merupakan taubat yang sia-sia. Firman Allah dalam surah An Nisa ayat 17 hingga 18 yang bermaksud, Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera. Maka, mereka itulah yang diterima Allah taubatnya, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang antara mereka, (barulah) ia berkata, Sesungguhnya aku taubat sekarang. Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedangkan mereka di dalam kekafiran. Bagi mereka Kami sediakan seksa yang pedih.''

Hati yang bersih setelah bertaubat merupakan sumber kedamaian dan ketenangan. Melalui ketenangan itulah ia akan membantu kita mengatasi masalah hidup dan tidaklah lagi berasa dibebani dengan dosa-dosa silam. Justeru selagi nyawa dikandung badan, selagi pintu taubat masih terbuka, maka ambil kesempatan tersebut untuk kembali ke jalan Allah.

JADILAH SEORANG PEJUANG YANG MENANG


Setiap pejuang tentunya mengharapkan kejayaan. Tapi sayang ada pejuang-pejuang Islam yang tertipu dengan erti kemenangan. Kadang-kadang terjadi, mereka tertipu dengan wasilah atau alat perjuangan. Mereka menyangka mereka sudah mendapat kemenangan, sedangkan mereka baru berjaya mendapatkan alatnya sahaja. Mereka lupa kepada matlamat sebenar perjuangan.Contohnya ada yang menganggap pembangunan ekonomi adalah langkah asas dalam membangunkan Islam.

 Kononnya dengan utuhnya ekonomi umat Islam maka utuhlah Islam itu sendiri. Malangnya, setelah berjaya dalam bidang ekonomi, yang terbangun dalam diri mereka  hanyalah material, tapi Islam tidak juga terbangun. Syariat Islam tidak juga dapat ditegakkan, bukan saja dalam masyarakat bahkan dalam diri. Ada juga pejuang yang menganggap apabila sudah mendapat kuasa, mereka sudah menang. Mereka terlupa matlamat perjuangan yang sebenarnya. Walaupun dunia ini jatuh dalam genggaman mereka, tetapi jika masyarakatnya tidak dapat diubah kepada pengamalan Islam yang sempurna, maka sebenarnya mereka masih kalah.

Sejarah menceritakan para pengikut Thalut lupa pada perjuangan setelah terjumpa sungai. Walaupun dipesan-pesan oleh Thalut  agar jangan berlengah-lengah di tebing sungai, namun ramai juga yang enggan meneruskan  perjalanan dan ingin memulakan penghidupan baru di tebing sungai itu. Sebenarnya perkara ini berpunca daripada beberapa kesilapan para pejuang itu sendiri  antaranya :

  • Tugas sebenar seorang pejuang.
  • Kurang memahami matlamat perjuangan
  • Tiadanya keikhlasan dalam perjuangan.
  • Dalam hati mereka masih ada cinta dunia, ada tujuan-tujuan peribadi dalam perjuangan, ingin kedudukan, pengaruh dan sebagainya.

Bila ramai individu begini dalam perjuangan, perjuangan itu akan hanyut seperti hanyutnya  pondok buruk dilanda air bah besar. Malanglah jika ini terjadi, di dunia terhina manakala di  Akhirat terseksa. Seseorang pejuang itu mesti tahu bahawa dia mempunyai dua tugas. Pertamanya membaiki diri dan kedua membaiki masyarakat. Matlamat perjuangan Islam ialah menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Oleh itu perlu ditegakkan kalimah Allah dalam diri dahulu. Inilah perjuangan pertama yang perlu ditempuhnya. Peribadi pejuang adalah lambang kepada perjuangan.

 Sikap dan perlakuannya merupakan lisanul hal yang menjadi contoh kepada orang-orang yang didakwahnya. Seorang pejuang yang mengajak orang kepada Islam tetapi dirinya sendiri tidak menggambarkan peribadi mukmin yang sejati, samalah seperti bapak ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Juga penting dalam perjuangan ialah bantuan Allah. Ia penentu kepada kejayaan itu sendiri. Syarat untuk mendapat anugerah rahmat dan pertolongan-Nya ialah taqwa sepertimana firman-Nya yang bermaksud:
 “Sesungguhnya Allah penolong orang yang bertaqwa.”  ( Al Jathiyah : 19 )
Untuk menjadi pejuang yang bertaqwa, seseorang itu perlu menempuh jalan yang rumit. Secara  ringkasnya ada lapan syarat menuju taqwa:

 1. Perlu ada kesedaran Islam. Berlapang dada menerima syariat Islam. Hasil daripada kesedaran itu, mendorongnya mencari ilmu untuk melengkapkan diri sebagai hamba Allah yang diredhai-Nya.

 2. Memahami Islam itu sendiri. Kefahaman lahir daripada ilmu yang dicari tadi. Ilmu yang terbaik terhasil daripada gabungan teori dan pengalaman. Kefahaman dalam perjuangan adalah penting agar tidak tersilap langkah. Kefahaman boleh ditanam melalui pembacaan, menghadiri kelas-kelas pengajian dan juga pengalaman.

 3. Yakin dengan apa yang telah difahami itu. Contohnya, setelah faham dan yakin hanya Islamlah agama yang benar sebagaiman firman-Nya:
 “Agama yang benar disisi Allah ialah Islam.”

 Maka berlandaskan keyakinan inilah muncul peribadi yang kental jiwanya, hatta nyawa pun sanggup dijadikan galang ganti untuk mempertahankan Islam yang dicintai. Hasil daripada keyakinanlah maka para sahabat sanggup berhabisan harta, menanggung penderitaan dan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Inilah pentingnya keyakinan dalam membina taqwa.

 4. Sanggup melaksanakan apa yang diyakini itu. Jika kita yakin hanya Islam agama yang benar, yang boleh menyelesaikan segala persoalan hidup maka kita mesti sanggup untuk melaksanakan hukum-hakam Islam serta sanggup pula memperjuangkannya. Misalnya kita sudah yakin menutup aurat itu wajib, maka kita mesti sanggup menunaikannya. Kesanggupan ini tanda perubahan pada diri. Perubahan pada pengamalan adalah titik tolak menuju taqwa.

 5. Mujahadatunnafsi. Namun inilah yang paling sukar ditempuhi, kerana nafsu ialah musuh manusia yang paling jahat. Ia tidak berbatang tubuh yang boleh dikeronyok sampai mati, sebaliknya ia ada dalam diri. Allah telah memberi amaran tentang tipuan nafsu yang jahat ini sepertimana firman-Nya yanng bermaksud :
 “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.”  (Yusuf : 53)

 Nafsu umpama daki yang melekat di badan, namun menghilangkannya tidak semudah mencuci daki. Ia perlu digosok, dibersihkan dan disental setiap masa. Mujahadatunnafsi adalah jihad yang paling besar dan berterusan.

 6. Istiqamah beramal. Ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian iaitu :
  •  Mengekalkan amalan walaupun sedikit.
  •  Memilih amalan yang berterusan untuk diri.
  •  Mempelbagaikan amal walaupun sedikit.

 Amalan yang istiqamah akan memberikan kesan umpama air yang dititiskan ke batu yang keras; sekeras-keras batu pun akan lekuk juga akhirnya. Maka amalan yang istiqamah akhirnya akan membuahkan iman dan akhlak serta akan menjadi benteng daripada godaan nafsu dan syaitan yang tidak pernah rehat.

 7. Ada jemaah

 8. Di samping semua syarat di atas, kita hendaklah senantiasa berdoa kepada Allah semoga Allah   memelihara dan memberi taufiq kepada kita.


Seorang pejuang yang sudah berjaya mendapat taqwa, ertinya dia sudah mendapat kejayaan yang tidak ternilai. Taqwa adalah syarat utama untuk berjaya dalam membaiki masyarakat dan yang paling penting untuk mendapat kemenangan hakiki iaitu kemenangan di Akhirat sepertimana firman Allah yang bermaksud :

 “(Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai dan memasukkan kamu ke tempat tinggal yang baik di dalam Syurga Adnin. Itulah keuntungan (kejayaan) yang besar.”
 (Surah As Shoff : 11-12)

ISLAM DAN CINTA SEJATI





Semua orang petah berbicara mengenai cinta, tetapi bagaimanakah memperolehi cinta yang terunggul? Untuk mendapat cinta manusia yang tulus lagi sejati, carilah dan kahwinilah manusia yang mencintai Allah dan Allah jua menyintainya supaya terisi makna cinta yang sebenar. Sabda Nabi SAW: “Amalan yang paling disukai Allah ialah mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah” –Riwayat Ahmad


Berpasangan dan cinta adalah naluri dan nafsu, otak mengawalnya. Jika biarkan cinta kuasai diri hingga merosakkan hidup, nescaya diburu penyesalan sepanjang hayatnya. Setiap pasangan perlu belajar menggemari kegemaran pasangannya dan memperbanyakkan ciri-ciri persamaan antara keduanya bagi melancarkan hubungan dan komunikasi mereka. Untuk saling memahami, seseorang perlu meluahkan rasa hati. Silapnya kita sering menganggap bahawa yang meluahkan rasa isi hati itu sebagai pendendam dan celupar.


Keintiman pasangan dilihat sejauh mana perkongsian citarasa, fikiran, perasaan, tingkah laku, hasrat dan keputusan antara mereka. Keputusan sepakat membawa berkat. Pasangan yang tidak ada rasa sepakat, tiada saling bergantungan dan tiada rasa tanggungjawab adalah antara petanda bahawa keintiman antara mereka semakin berkurangan.


Kualiti perhubungan antara pasangan dapat dilihat daripada kualiti komunikasi sama ada positif atau negatif. Kuasai teknik berhubung supaya maksud anda difahami. Bersikap terlalu kritis terhadap pasangan menyebabkan hilang keseronokan dalam perhubungan malah timbul kebosanan. Kritikan biar berhikmah agar ia tak tersinggung. Ingatlah bahawa hati wanita terletak di mulut, kerana mereka gemar meluahkan perasaan dengan kata-kata. Mulut lelaki pula berada di hati, kerana mereka lebih suka memendam rasa.


Sikap cemburu itu pula tandanya sayang, akan tetapi cemburu yang berlebihan adalah antara petanda curiga serta ingin menguasai pasangannya. Cemburu biar kena pada tempatnya. Pasangan yang bahagia menggunakan alasan untuk membela antara satu sama lain. Manakala pasangan yang tidak bahagia berusaha mencari alasan untuk saling tuduh-menuduh.


Pasangan yang selalu hendak menang, pentingkan emosi serta egois akan burukkan lagi perhubungan apabila berlaku krisis. Usah pentingkan diri tapi banyakkan toleransi. Jika setiap pasangan mengharapkan cinta mereka saling berbalas, berlumba-lumbalah mencari kasih sayang dan carilah keredhaan Allah, itu adalah sebaik-baik pengharapan.


Cintailah siapa yang kamu cintai, tapi suatu hari nanti kamu akan berpisah dengannya, tetapi mencintai Tuhan kekal buat selamanya. Selami keikhlasan pasangan anda seadanya!

15 PERKARA YANG MENDATANGKAN BALA DARIPADA ALLAH SWT


1.  Harta negara mengalir ke tangan orang-orang tertentu sahaja.
2.  Amanah dijadikan wasilah untuk mendapat kepentingan tertentu.
3.  Zakat dijadikan sebagai hutang.
4.  Suami memperturuti kehendak isteri yang melampaui batas.
5.  Anak menderhaka kepada ibu bapanya.
6.  Anak yang derhaka kepada ibu bapa, tetapi berbaik-baik dengan kawan-kawan.
7.  Anak yang suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid – berlaku pertengkaran dan perbalahan.
9.  Yang menjadi ketua dalam sesuatu kaum ialah yang terhina di kalangan mereka.
10. Orang yang dimuliakan kerana ditakuti akan kejahatannya.
11. Arak diminum di merata tempat.
12. Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki.
13. Para artis disanjung.
14. Muzik banyak dimainkan.
15. Generasi hari ini banyak melaknat generasi terdahulu ( golongan sahabat, tabi’in.)

*Sebaik-baik orang yang menuntut ilmu adalah orang yang menuntutnya di dalam kekurangan.
(Imam al-Shafie)

AZAN & TIGA TANDA

Renungkanlah WAHAI SAHABAT-SAHABATKU yang dirahmati ALLAH SWT,
Mengapa lidah kelu disaat kematian? tetapi kematian itu pasti
menjelma.
Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati.
Mengapa kebanyakan orang yg nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa..
lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan'sakaratul maut'.
Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud:

"Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya."


Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang.
Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan.
Banyak fadhilatnya.
Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri?
Lantas sesiap! a yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak.
Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah..."
yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dgn izinNya menjanjikan syurga untuk mereka.

Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.
 "Ya Allah!
Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia,
lancarkan lidah kami mengucap kalimah "Lailahaillallah.." semasa sakaratul mautmenghampiri kami.
Amin.. amin.. amin Yarobbal a'lamin.."

BATASAN DALAM BERGURAU

Dari : Riwayat Abu Daud Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah!

Huraian :

i) Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.

ii) Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.

iii) Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:

a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.

iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.

Wallahu'alam 

20 PERKARA MUHASABAH DIRI



1.  Beristighfar/bertasbih setiap hari
2.  Berzikir mengingati Allah
3.  Sembahyang 5 waktu
4.  Berpuasa sunat
5.  Mengerjakan solat-solat sunat
6.  Berselawat kepada Rasulullah
7.  Bersyukur di atas nikmat Allah
8.  Bertawakkal/berserah kepada Allah dalam setiap urusan
9.  Memaafkan kesalahan orang lain
10. Menghubung silaturrahim
11. Memberi nasihat yang baik kepada manusia
12. Mendengar peringatan tentang agama yang baik untuk diri
13. Menziarahi orang sakit/miskin
14. Menziarahi kubur untuk mengambil iktibar
15. Bersedekah/menafkah harta pada jalan yang benar
16. Mencegah kemungkaran bila melihatnya
17. Sentiasa berfikir dan bertindak kearah kebaikan
18. Sentiasa mengingati maut yang anda pasti menemuinya
19. Menyebarkan salam dan menebarkan kasih sayang kepada semua manusia
20. Seorang yang sabar dan redha dengan ketetapan Allah