DOA RABITHAH


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..


ZAKAT DARI SUDUT PANDANGAN KESUFIAN SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI

Zakat itu terbahagi kepada dua jenis. Pertama – zakat yang ditentukan oleh syariat Islam. Kedua – zakat keruhanian yang berbeza dari yang pertama itu.

Zakat yang ditentukan oleh syariat itu ialah dari barang-barang yang diperolehi secara halal dalam dunia ini setelah ditolak untuk kegunaan sendiri dan keluarga, maka sekian-sekian peratus dari lebihnya itu dibahagi-bahagikan kepada mereka yang memerlukan seperti fakir miskin dan sebagainya.

Zakat keruhanian ialah sebahagian daripada harta keruhanian yang diperoleh seseorang itu dibahagikan kepada mereka yang memerlukannya iaitu kepada fakir miskin dalam bidang keruhanian.

Allah berfirman:  
“Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya untuk memerdekakan hamba abdi, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 60).  

Apa sahaja yang di hulurkan untuk tujuan berzakat adalah pada hakikatnya terlebih dahulu melalui tangan Allah Taala sebelum ianya sampai kepada penerimanya.
Oleh yang demikian, tujuan zakat bukanlah sebenarnya untuk kita membantu fakir miskin itu kerana Allah adalah Maha Pemberi segala keperluan kepada orang-orang fakir miskin itu tetapi rahsia sebenarnya di sebalik itu ialah untuk menjadikan niat pemberi zakat itu diterima oleh Allah S.W.T.

Mereka yang hampir dengan Allah membahagi-bahagikan ganjaran keruhanian hasil dari ibadat dan lakuan baik mereka itu kepada orang-orang yang telah berdosa. Allah s.w.t menzahirkan rahmat dan kasih sayang-Nya dengan mengampunkan orang-orang yang berdosa melalui amalan soleh hamba-hamba-Nya yang  dilakukan oleh hamba-hamba-Nya yang soleh itu yang berniat untuk menghadiahkan pahala amalan solehnya kepada orang-orang yang berdosa itu. Allah dengan rahmat-Nya mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang berdosa itu hasil dari pembahagian sebahagian pahala dan ganjaran yang diperoleh hamba-hamba-Nya yang soleh itu.

Hamba-hamba-Nya yang soleh ini sangat murah hati sehinggakan mereka sendiri tidak menyimpan apa-apa pahala lagi. Mereka tidak mengharapkan pahala atau ganjaran di dunia ataupun di akhirat. Ini kerana mereka yang menurut jalan kesufian tidak ada memiliki apa-apa langsung dari harta keduniaan mahu pun pahala akhirat. Bahkan wujud mereka sendiri pun hilang binasa (pada tanggapan dan pandangan mereka). Mereka dalam keadaan fakir yang hakiki. Allah mencintai mereka yang bermurah hati itu.

Mereka ini ibarat muflis keduniaan ini. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda:
“Orang yang membelanjakan segala harta miliknya dan tidak mengharapkan balasan apa-apa pun adalah dalam peliharaan dan jagaan Allah di dunia dan di akhirat.”
 
Seorang waliyullah yang bernama Rabiah Al-Adawiyah pernah berdoa kepada Allah yang lebih kurang maksudnya:  

“Wahai Tuhanku, berikanlah semua bahagian (harta) aku dalam dunia ini kepada orang-orang kafir dan sekiranya ada bahagianku di akhirat nanti, bahagikanlah kepada hamba-hamba-Mu yang beriman. Aku hanya mahu menyintai-Mu sahaja dalam dunia ini dan di akhirat aku mahu bersama dengan-Mu. Itu sahaja yang hamba pinta dari-Mu kerana manusia dan apa yang dimilikinya untuk seketika adalah sebenarnya milik-Mu jua.”  

Allah s.w.t membayar balik sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda dari apa yang kita berikan.  

Firman Allah:  
“Barangsiapa yang membawa amal yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya dan barangsiapa yang membawa perbuatan jahat, maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan).”
(Al-An’am: 60).

Satu lagi faedah zakat ialah faktor pembersihan. Zakat membersihkan segala harta dan diri kita. Jika diri kita dibersihkan dari sifat-sifat keegoan, maka tujuan zakat dari segi keruhanian telah dicapai. Memisahkan diri kita dari sebahagian kecil apa yang kita sangka milik kita itu mendapat ganjaran berlipat kali ganda di akhirat kelak. Allah menjanjikannya.

Firman-Nya:  
“Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipatgandakan (balasan) pinjaman itu untuknya dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.” (Al-Hadid: 11).  

Firman Allah lagi:  

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu.” (Asy-Syams: 9).  
Zakat itu adalah suatu hadiah yang indah, suatu perbuatan yang baik yang diambil dari sebahagian rezeki yang kita peroleh, baik kebendaan mahu pun keruhanian. Keluarkanlah zakat kerana Allah kepada hamba-hamba Allah. Meskipun dijanjikan pahala dan yang ganjaran berlipat ganda namun janganlah kita berzakat itu kerana hendak pahala. Berzakatlah kerana Allah semata-mata dengan hati yang penuh perihatin, cinta dan kasih sayang terhadap hamba-hamba Allah yang fakir miskin dan yang memerlukan, bukan mengharapkan sesuatu ganjaran walaupun berharapkan terima kasih dari penerima.

Firman Allah:
 
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-yebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima) seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang bertanah di atasnya. Kemudian batu itu ditimpa hujan lebat lalu jadilah ia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir.” (Al-Baqarah: 264).  

Janganlah berharap sebarang ganjaran keduniaan dari amalan baik kita lakukan. Lakukanlah kerana Allah semata-mata.  

Firman Allah:  

“Kamu sekali-kali belum sampai kepada kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali-Imran: 92).  
 
Wallahu A’alam

0 ulasan: