DOA RABITHAH


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..


SYARAT-SYARAT MENGGAPAI KEMENANGAN


Kemenangan di dunia (al-nashr) akan diperolehi oleh golongan yang memenuhi syarat kemenangan dan mempunyai ciri-ciri ‘ghalibun’ atau ‘hizbullah’ (golongan Allah). Allah swt menjelaskan tentang sifat-sifat golongan yang beroleh kemenangan ini dalam ayat 54-56, surah al-Ma’idah, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Barangsiap di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Ituah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui [54]. Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah)[55]. Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesngguhnya parti Allah itulah yang pasti menang [56].”

Syarat kemenangan itu adalah:


Allah mencintai mereka

Kecintaan Allah kepada mereka bermaksud Allah akan meredhai dan mengurnaikan mereka sebaik-sebaik balasan kerana ketaatan mereka juga kerana mereka adalah orang-orang yang mengikut ajaran Rasulullah saw. Di dalam ayat yang lain Allah berfirman dalam ayat ke 31, surah Ali ‘Imran yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Hanya dengan mengikut perintah dan sunnah Rasulullah saw, manusia itu akan mendapat kecintaan serta kasih sayang Allah sebagaimana Dia mencintai Rasul itu sendiri.


Mereka mencintai Allah:

Apabila seseorang manusia mencintai Allah ertinya dia telah meletakkan Allah di tempat pertama dalam keutamaan (priority) pekerjaannya. Demikianlah disebut di dalam pepatah Arab (al-hubbu a’ma) dan pepatah Melayu: Cinta itu buta. Ini bermaksud kecintaan yang benar-benar ikhlas akan mengabaikan segala perkara yang lain demi memenuhi hajat orang yang dicintai. Maka dalam konteks ini, sewajarnya manusia apatah lagi seorang muslim yang mengejar keredhaan Allah meletakkan ‘amal Islam pada pilihan yang pertama di dalam melakukan kerja. Demikian juga, manusia itu mestilah menjauhi larangan Allah sebagai bukti kecintaannya kerana larangan Allah sama ada yang jelas haram, syubhat mahupun yang makruh adalah dibenci serta menyebabkan kemurkaan dan balasan azab-Nya.

Bersikap lembut terhadap orang mukmin tetapi bersikap keras terhadap orang kafir: cenderung, kasih dan merendah diri dengan mukmin dan sebaliknya menunjukkan kekuatan dan kehebatan di hadapan orang kafir yang memusuhinya. Dalam hubungan ini Ibnu Abbas menyatakan: “Sikap mereka terhadap mukminin umpama bapa dengan anak dan tuan dengan hambanya. Manakala sikap keras mereka terhadap orang kafir umpama binatang buas dengan mangsanya. Demikian dinyatakan dalam ayat 29 surah al-Fath yang bermaksud: “Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).”


Berjihad pada jalan Allah:

Jihad adalah kemuncak amal Islami yang menjadi amalan kependitaan dan kesufian umat nabi Muhammad saw. Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bermaksud: “Setiap nabi mempunyai amalan kependitaan nya dan amalan kependitaan (kesufian) uini adalah jihad pada jalan Allah.” (Riwayat Ahmad)


Tidak takut celaan orang yang mencela

Celaan manusia sering mengganggu perhatian pejuang-pejuang Islam di sepanjang. Dalam hubungan ini, Allah swt sering memperingatkan mereka dan Rasulullah saw sendiri agar bersabar terhadap kata-kata para penentang Islam. Firman-Nya dalam surah Muzzammil, ayat10 yang bermaksud: “Dan bersabarlah terhadap yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.” Sikap tidak bimbang dan tidak pula ambil peduli terhadap celaan, bantahan atau kritikan mencerminkan keteguhan pegangan mereka pada agama.


Meletakkan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang mukmin sebagai penolong dan pimpinan:

Hanya dengan meletakkan kepercayaan dalam soal pertolongan dan pimpinan kepada Allah, Rasulullah saw dan orang mukmin mereka akan diberi kemenangan oleh Allah swt. Orang yang dijadikan penolong dan pimpinan itu pula sebagaimana dinyatakan dalam ayat tadi adalah orang yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka itu tunduk pada Allah. Islam meletakkan syarat ketundukan kepada Allah sebagai syarat pilihan kepimpinan sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah saw: “Tidak ada keta’atan kepada makhluk dalam soal maksiat kepada (Khaliq) Pencipta.”

Dua lagi syarat kemenangan disebut dalam ayat 125, surah Ali ‘Imran yang bermaksud: “Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.”


Bersifat sabar

Sabar adalah kunci kejayaan setiap manusia. Ia bermaksud menahan diri terhadap kesempitan dan ujian dengan mengambil tindakan yang paling wajar. Oleh itu, sabar tidak bererti membiarkan sahaja apa yang berlaku atau dilakukan ke atas orang mukmin, dan tidak semestinya mengambil tindakan keras apabila dicabar dan ditindas. Dalam hubungan inilah Rasulullah mengambil kira soal relaiti (waqi’) yang sedang dihadapi oleh umat Islam. Kerana itu jualah, apabila baginda dikhabarkan tentang penyiksaan dan kematian Yaasir serta isterinya sebelum berlakunya hijrah yang menatijahkan tertubuhnya negara Islam, baginda bersabda: “Sabarlah keluarga Yaasir! Sesungguhnya balasan kamu adalah syurga.” Namun, dalam keadaan umat Islam sudah punyai kekuatan, tindakan berdiam diri adalah dayus (pengecut). 


Bertaqwa

Taqwa bererti berhati-hati di dalam melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah swt. “Apabila Saidina Umar bertanya kepada Huzaifah al-Yamani tentang taqwa, dia bertanya pula kepada Umar: Apakah Amirul Mukminin pernah berjalan di jalan yang dipenuhi duri pada waktu malam. Lalu jawab Umar: Pernah. Kata Huzaifah pula: Bagaimanakah Amirul Mukminin berjalan. Jawab Umar: Dengan berhati-hati agar tidak terpijak duri. Lalu kata Huzaifah: Itulah taqwa.” Apabila mereka sudah menjadi golongan berhati-hati dan cermat dalam menjalani kehidupan mereka dengan memenuhi, maka kemenangan akan dikurniakan oleh Allah swt.

0 ulasan: