DOA RABITHAH


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..


LAWSONIA INERMIS BUAT SRIKANDI



Matanya tajam memandang ke kiri dan kanan. Sesekali dia menjeling ke arah jam di dinding. 6.20 petang! Bila-bila masa sahaja panggilan akan berkumandang menuturkan namanya. Dia menyeka peluh di dahi. Cuba untuk menenangkan hatinya yang kian resah. Kalut!

Kau ni kenapa?Berpeluh bagai nak rak!
Kau sibuk buat apa? Kau tahu apa yang aku rasa?
Mestilah aku tahu. Malah aku lebih tahu dari kau sendiri!
Kalau kau tahu sangat, beritahu aku apa yang aku tidak tahu!

Matanya masih memandang cermin dengan rasa yang berkecamuk. Tuah! Buktikan! Kau bukan seperti yang mereka sangkakan! Jangan sampai engkau membenarkan apa yang mereka katakan!

Hei, Tuah! Kau macam tidak yakin dengan apa yang engkau lakukan! Tak usahlah engkau hendak buktikan apa-apa!
Kenapa aku perlu ikut apa yang kaukatakan? Bukankah aku yang memiliki jasad ini? Kau tidak punya hak untuk menghasut! Aku sudah cuba untuk mengumpul segala kekuatan yang ada, jangan pula kau sengaja untuk merendah-rendah kelebihan yang telah Allah kurniakan pada aku! Kau tidak ada hak!
Wah, hebat cara kau bercakap! Macam menteri pula!
Sudah! Kau sudah mula buat aku rasa muak.

Tuah masih memandang cermin. Wajahnya mempamerkan pelbagai reaksi. Titis  peluh yang cuba untuk meloloskan diri, cepat sahaja diseka. Sesekali dia melirikkan matanya ke pintu bilik. Hampa, tiada apa-apa di situ! Mungkin masanya belum tiba lagi.

Dia masih terpacak di sudut laman rumah. Dengan kudrat yang masih berbaki, dia cuba mengangkat saki-baki anak pokok yang masih tinggal. Terasa juga protes di hati apabila Pak Aman sengaja membiarkan tangan gadisnya dimamah butir-butir pasir yang kasar. Namun, dia tidak pernah menyatakan bahawa dia juga ingin dilayan seperti anak-anak gadis yang lain, bukan anak tiri! Hanya kerana namanya Tuah, kekuatannya dianggap sama dengan lelaki. Mana mungkin! Dia Tuah Srikandi! Seorang gadis biasa yang juga punya watak dan sifat yang sama seperti anak-anak gadis yang lain. Bukan Hang Tuah yang mempunyai seribu satu persoalan tentang kebenaran dan kenyataan. Tiada kemusykilan tentang kedudukkannya sebagai seorang wanita. Sungguh!

“ Pak Aman, Tuah nak rehat sekejap boleh? ” dia membetulkan tudung yang melitupi kepala. Terasa hilang beban yang baru sahaja dilepaskan. Wajah Pak Aman dipandangnya sekilas. Tiada senyuman lansung!
“ Baru buat kerja sikit, dah nak rehat. Macam mana kau nak berjaya dalam hidup? Masih ada separuh lagi ni, siapa nak siapkan? ”
“ Tuah dah angkat 75 batang, Pak Aman. Tuah bukan lelaki, Tuah perempuan. Dah cukup baik Tuah nak tolong. Nak harapkan anak dara Pak Aman, sampai bila pun tak habis kerjanya. Sekejap lagi Tuah sambunglah. ”  Sengaja nada suaranya dilatarkan rendah. Mungkin impaknya lebih berkesan nanti.
“ Kau nak bandingkan si Melur tu dengan kau? Tak layak sungguh! Dia tu pandai, bijak, cantik, lepasan universiti. Bukan macam kau, pakai tudung pun tak betul. Kalau tak kerana mak kau adik aku, tak teringin aku nak jaga kau. Dahlah suka melawan, kerja sikit pun dah nak merungut. Nak mengata anak aku pula. Apalah nak jadi dengan engkau ni! ” Tuah hanya diam. Berbekas juga hatinya dengan kata-kata itu. Mungkin benar, mungkin juga tidak. Bukan dia tidak tahu, memang sudah sekian lama Pak Aman membencinya, apatah lagi ketika dia di bangku sekolah. Kenakalan dan sifat liar yang membalut wataknya pada waktu itu sememangnya memberi kesan yang mendalam kepada pemikiran Pak Aman. Bagi lelaki 60-an itu, Tuah tetap Tuah yang dulu! Tuah yang menyusahkan semua orang sehingga ibunya meninggal ketika dia dituduh terjebak dalam kancah dadah. Kau tetap anak buangan, Tuah Srikandi! Kau bukan Hang Tuah, pahlawan terbilang!
“ Kenapa Pak Aman sanggup cakap macam tu? Teruk sangatkah Tuah? ” kali pertama dalam hidupnya, dia merasakan dirinya hina sekali. Pak Aman memandang wajahnya dengan dahi yang berkerut seribu. Matanya bundar. Bengis!
“ Kau tanya lagi. Siapa yang menyebabkan kematian mak kau? Engkau! Siapa yang memalukan orang-orang dalam kampung ni, engkau! Sekarang kau nak tanya lagi pada aku!” Kemarahan Pak Aman jelas menyala. Hebat jarinya menunding Tuah. Manakala gadis itu hanya diam tanpa kata. Perlahan-lahan, langkahnya diayunkan ke corok belakang rumah. Maki hamun yang dilemparkan hanya dibiarkan begitu sahaja, terasa sudah kebal dan sebati dengan kehidupan yang menyonsong datang.

Matanya merah. Lurah pipinya sudah kemas dibaluti airmata. Masihkah dia gah untuk bertahan? Tuah pasrah! Segala yang berlaku pasti Allah tunjukkan hikmah. Dia beralih ke birai jendela, ufuk senja merah menghiasi segenap ukiran alam di muka bumi. Camar yang pulang ke sarang membina satu barisan pertahanan dengan penjuru yang berbagai rupa. Hatinya terasa dibelai pilu yang teramat sangat. Sungguh!

Sekarang baru kau nak menyesali segala apa yang telah berlaku! Sudah tiada gunanya, Tuah. Kau hanya indah pada nama, tetapi bukan sifatnya!
Boleh kau berhenti mengutuk aku! Aku telah sedaya-upaya membaiki diri. Jangan pula kau sengaja hendak mengujinya.
Wah, cukup hebat! Hipokrit mana yang kau canang untuk mengaburi mata orang ramai? Hang Tuah yang aku kenal adalah pahlawan yang mempertahankan Tanah Melayu, tetapi engkau merosakkan identiti melayu!
Cukup! Cukup! Aku sudah tidak mahu dengar lagi! Cukup!
Kau harus menerima kenyataan ini, Tuah! Sampai bila-bila pun kau tidak akan bahagia setelah apa yang engkau lakukan terhadap orang lain terutamanya ibumu!
Cukup! Kau sengaja hendak memprovokasi aku! Sedang kau tidak tahu kau siapa!
Siapa aku?
Kau nafsu yang tidak pernah belas membunuh niatku! Kau juga harus faham, segalanya ada batasan. Aku juga seorang wanita, bukan sekadar pada nama tetapi hakikat yang telah Allah limpahkan kepadaku! Aku Tuah Srikandi! Dan akulah srikandi yang akan membuktikan kebenaran ini!

Cepat langkahnya dihayunkan. Beg galas yang berisi beberapa pasang pakaian disandangkan ke bahu kanan. Sesekali dia menoleh ke belakang, khuatir ada yang mengekori. Destinasi yang dituju telah pasti dalam pengamatan. Dia menoleh ke kiri dan kanan jalan. Beberapa buah kenderaan lalu di situ. Namun, belum ada tanda-tanda mahu berhenti. Tuah menyeka peluh di dahi. Walau berat bahu memikul, hatinya ringan dengan niat yang betul. Dia pasti, itulah yang terbaik.
“ Hendak ke mana, dik? ” Tuah tersentak! Bila pula ada teksi berhenti di bahu jalan? Dia tersenyum kelat.
“ Rumah Anak Yatim Mustaqim, encik.”
“ Bolehlah. Marilah naik.”
“ Tambangnya berapa? ”
“ RM15 sahaja.” Tuah mengira-ngira wang yang dibawanya. Masih ada baki tiga puluh lima ringgit. Cukup!
“ Baiklah.” Dengan harapan dan semangat juang yang baru dia memasang impian yang nyata. Niat dan azam yang memungkinkan kehidupan yang lebih mencabar. Hari muka, nantilah hadirku! Tunggu aku untuk membelah badaimu!

Ketukan pintu memecahkan kesunyian suasana. Tuah hanya memandang kosong apabila daun pintu diselak perlahan. Wajah Mak Iman terpacul di situ. Wanita itu hanya tersenyum, menampakkan tenunan perasaan yang berkocak gembira. Senyuman kecil berbalas kembali. Tuah masih dengan perasaannya yang berbaur pelbagai rasa. Antara yang nyata atau hipokrit semata.
“ Hadiah buat kamu.” Kotak kecil keemasan yang berbalut kemas usai sudah bertukar tangan.
Tuah tenang. Tiada sebarang keghairahan dalam reaksinya.
“ Dari siapa Mak Iman? ” balutan kecil itu di dibeleknya berkali-kali. Tiada nama. Tiada tanda.
“ Entahlah. Katanya kamu akan tahu selepas membukanya.”
“ Buka? Kalau macam tu, terima kasih Mak Iman. Tuah akan buka kemudian.”
“ Ikut suka kamulah. Mak Iman minta diri dulu. Sebelum terlupa, tadi Pak Aman kamu pesan, jangan ingat sangat perkara yang dah lepas tu.” Walau perit namun senyuman tetap dilemparkan. Mungkin benar apa yang diingatkan oleh Pak Aman. Kenapa perlu menyimpan perasaan dendam dan sakit hati yang masih berbaki. Berbaik sangka, itulah terbaik!
Kepalanya didongakkan. Pandangannya agak kelam. Mungkin kerana cuaca malam yang agak suram dan ada tanda-tanda hujan akan turun. Tuah berlari anak menuju ke perkarangan rumah anak yatim. Pintunya diketuk berkali-kali. Agak lama dia menunggu sebelum seorang wanita dalam lingkungan 60-an menguak pintunya. Matanya terkebil-kebil tidak pasti. Bibirnya bisu untuk mengukir sepatah ayat sekalipun. Dia terpaku kaku.
“ Assalammualaikum.”
“ Cari siapa? ” kemas soalan terpacul setelah salam terjawab. Tuah cuba memikirkan penyataan yang sewajarnya untuk diberikan.
“ Ada kerja kosong di sini? ” Pelik atau tidak soalan itu biarlah dia yang mentafsirkannya.
“ Ada, tetapi kenapa datang malam-malam macam ni.”
“ Saya.....saya...”
“ Tak apalah, mari masuk.”
“ Nama puan? ”
“ Panggil sahaja Mak Mah. Yang ini pula siapa namanya? ”
“ Saya Tuah.”
“ Tuah? ”
“ Tuah Srikandi, Mak Mah.”
“ Hebat nama kamu, pasti orangnya juga hebat.” Dia hanya tersenyum. Biarlah apa sekalipun tanggapan yang dilontarkan, Tuah sedar semua yang terjadi adalah ujian dari Allah. Telah disimpulkan tekad di hati, agar segalanya diterima telah sabar, sabar dan sabar!

Bungkusan kecil itu dibuka perlahan-lahan. Dia juga tidak pasti isi kandungannya. Di bahagian tepi, terselit sekeping nota ungu ‘ Lawsonia Inermis Buat Srikandi Kesayanganku ’. Tuah lantas menekup mulutnya. Sekali lagi, matanya dilinangi air mata yang tidak tergambar dengan kata-kata. Dia sudah mampu untuk mengagak siapa pengirimnya. Lantas isi kandungan hadiah dibuka. Sekotak serbuk inai yang pernah menjadi topik perbalahannya terhias di situ. Akhirnya, janji dikota, amanah terlaksana. Tuah menjenguk ke luar jendela. Di halaman rumah, empat buat kereta berderetan mengeluarkan isi perutnya. Dia pasti, salah seorang daripada  mereka adalah dia.

Bukan main gembira lagi kau kali ini!
Semestinya! Aku yakin dengan apa yang Allah kurniakan padaku.
Kau sudah mula lupa dengan apa yang pernah engkau lakukan.
Aku sememangnya harus melupakannya dan menjadikannya sebagai sempadan masa depanku!
Kau yakin!
Aku yakin! Kau yakin?
Aku?

Dari tadi dia asyik memerhatikan pokok inai di halaman Rumah Anak Yatim Mustaqim. Entah unsur apa yang menjadi bahan penarik juga tidak diketahui. Cuma, baginya inai adalah lambang wanita. Impian yang terbina dengan jalinan kasih antara dua insan akan disisipi dengan seri inai. Dia juga pernah mengimpikannya, tetapi tidak lagi kini. Dengan segala salah dan khilaf yang pernah dilakukan, angan yang kabur hanya tinggal mitos semata.
“ Awak tahu pokok ini pokok apa? ” dia tersentak! ‘ Musuh ’ sudah mula melemparkan persoalan.
“ Syeikh Muslimin, ini inai, takkan itu pun awak tak tahu.”
“ Srikandi, inai itu biasa, tahu apa yang luar biasa? ” sengaja dia mengerutkan. Bukan kerana soalan, tetapi kerana namanya yang disebut dalam sebutan yang berbeza.
“ Srikandi? ”
“ Srikandi, awaklah.”
“ Kenapa awak panggil saya macam tu? ” Syeikh Muslimin mengalihkan pandangannya tepat ke wajah Tuah. Gadis itu mula malu sendiri.
“ Kalau saya panggil awak Tuah, semuanya sudah menjadi suatu kebiasaan. Lagi pula, Tuah lebih sesuai untuk lelaki. Nama awak sedap, Tuah Srikandi! Kenapa tak panggil Srikandi, bersesuaian dengan sifat awak sebagai muslimah. Awaklah Lawsonia Inermis. Lambang seorang wanita. Jangan pandang rendah pada diri.” Lawsonia Inermis? Apa yang dia mengarut ni? Masakan ada orang lain yang akan menghargai sebaris nama!
“ Habis tu, Lawsonia Inermis tu apa pula? ”
“ Awak fikirlah sendiri.”

Tuah sudah tidak jenuh di birai katil. Jarinya disulami hiasai inai merah. Mak andam pula tidak henti-henti memuji seri wajahnya. Mungkin sifat kewanitaan yang tidak pernah terpancar kini terpamer jelas di persada jinjang masjid baru. Gementar, gabra, takut, segan dan segala macam perasaan sudah mula berbaur kencang di dalam sanubari. Tuah menarik nafas panjang, berdoa dalam hati, agar dipermudahkan segala urusan.
“ Tuah, cepat keluar.”
“ Baik Mak Iman.” Panggilan yang ditunggu sudah pun tiba. Dia bangun perlahan. Ditepi kiri dan kanannya diapit dua gadis muda. Dengan yakin dia melangkah. Kali ini biarlah buktinya jelas dan nyata. Dia Tuah Srikandi! Bukannya Hang Tuah yang dikatakan mempunyai kekeliruan sifat jantina yang nyata. Ingin dipamerkan jelas segalanya, dia juga akan mencapai impian yang menjadi taruhan setiap wanita.

Kaulah Lawsonia Inermis, inai merah yang menghiasi segenap kehidupan asal rusukmu. Kembalilah kau kepadanya. Dan aku sentiasa berdoa, kau akan bahagia.

0 ulasan: