DOA RABITHAH


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..


NUR PILIHAN


Aku membuang pandanganku jauh ke ufuk Oktober. Fajar merah yang masih belum jemu menjemput tabir malam seakan-akan ingin mengundur diri. Awan kelabu pula berkejaran menebari bayangnya di segenap penjuru khazanah Allah di muka bumi. Aku melentokkan kepalaku ke birai jendela. Terasa nyaman hembusan bayu petang yang sengaja mengelus lembut pipiku. Di birai katil, bungkusan hantaran sudah siap disusun rapi. Cantik dan kemas. Sedari pagi tadi Umi dan beberapa orang saudara bertungkus-lumus menyiapkannya. Kini, aku sedar debaran yang semakin kental cuba menerjah ke dasar hati. Debaran yang aku sendiri mengakui kegusarannya. Esok! Hari yang bersejarah bagiku. Dengan keputusan yang telah abah putuskan seminggu lepas, bermakna aku akan bertentang mata dengannya, dengan insan yang tidak pernah aku temui seumur hidupku. Mungkin itu jalan yang terbaik supaya tidak terkandasnya aku di pusar perasaan yang tidak pernah puas.
            “ Zara!” tersentak aku!
            “ Apa Umi? ” 
            “ Nolong Umi nyiap makan malam lok. Umi nak ngan Abah pegi rumah Datin Hanisah. Mungkin Umi ngan Abah solat kat rumah sidaknya jak. Lepas Isyak baruk Umi balit. Masaklah apa-apa pun. Jangan pegi sini-sini. Sik ada orang kat rumah. Nolong nangga juak Alisya ya. Gik ralit nya nangga cerita.”
            “ Auk Umi.” Alisya yang masih jenuh di hadapan televisyen kubiarkan sahaja dengan lagatnya. Seketika kemudian ngauman Perodua Viva Abah meluncur ke perkarangan jalan. Sepi kembali bertandang. Mungkin Umi dan Abah ingin membincangkan dengan lebih terperinci tentang perkara seminggu lepas. Dan aku pula seakan-akan mengeyakan sahaja keputusan mereka. Mungkin kerana sikapku yang tidak pernah membantah kehendak Umi dan Abah. Walhal keputusan yang paling besar sekalipun. Aku harap, ini adalah yang terbaik untukku.

***
           
            Aku melepaskan nafas malasku di sofa coklat. Wajah comel Alisya yang masih jenuh di muka televisyen kuperhatikan. Sungguh, dia sememangnya cantik persis Umi. Dengan dua lesung pipit yang menghiasi kedua-dua belah pipinya, aku akui kadang-kadang aku cemburu. Tetapi, itu semua ketentuan Allah, pasti berhikmah. Aku ingat lagi ketika dia turut serta bersama abah dan umi, menghantarku ke Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menyambung pelajaranku dalam bidang Komunikasi dan Pengurusan Maklumat. Betapa gembiranya dia apabila diajak berjalan-jalan keliling kampus. Pernah sekali dia turun dari kereta Abah gara-gara hendak memberikan sedikit makanan pada monyet-monyet yang berkeliaran di jalanan. Aku yang naik cemas dibuatnya, namun wajahnya memancarkan keriangan apabila salah seekor monyet tersebut mengambil makanan yang ada ditangannya. Sungguh, tika itu aku benar-benar kalut.
            “ Alisya!”  
            “ Kenak kak? ”
            “ Jangan....” Aku memandang wajahnya sejenak. Seketika kemudian aku kembali menatap skrin televisyen. Berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku.
            “ Akak tuk kenak? Tiba-tiba jak menjerit, terkejut kamek! ” Aku hanya membisu, membiarkan persoalan bermain di mindanya. Kenapalah agaknya fikiranku seringkali melayang sejak akhir-akhir ini? Sampai terjerit lagi. Bukannya ada monyet pun dalam rumah ini. Hah, sudah! Lebih baik aku pergi ke dapur untuk menyiapkan hidangan  makan malam. Tetapi, aku hendak masak apa?
            “ Alisya maok makan apa? Akak masak. ” dia kulihat berfikir sejenak. Kemudian perlahan-lahan dia bangun dan melabuhkan punggungnya di sebelahku. Seakan- akan ada sesuatu yang tidak kena sahaja lagatnya. Dia kemudiannya merangkul kemas lenganku.
            “ Akak, Alisya maok nanyak sigek soalan, boleh sik? ”
            “ Lum agik dijawabnya soalan orang, sik apa, tanyaklah. Apa? ”
            “ Mun kamek nanyak, sik boh manas. Janji? ”
            “ Tanyak jak sia.” Alisya mempamerkan senyum sumbingnya. Terkial-kial dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pasti soalan yang hendak ditujukan adalah soalan yang mustahak.
            “ Benakah akak nak bertunang ngan Ustaz Fahmi? ” Wah! Soalan cepumas! Bijak betul soalannya. Tetapi, tiba-tiba sahaja wajahnya bertukar sugul, entah apa sebenarnya yang tersirat di sebalik hati anak kecil berumur sembilan tahun ini agaknya. “ Mun akak dah bertunang, mesti akak akan nikah ngan nya. Lepas ya akak mesti ngikut nya. Tinggallah Alisya sorang-sorang jak kat rumah tok.” Aku tidak segera menjawab. Bagaimana harus aku menerangkan kepadanya bahawa aku sendiri juga tidak pasti dengan keputusan yang telah aku putuskan. Adikku sayang! Kau harus memahami bahawa kau juga akan melalui perkara yang sama. Itu fitrah manusia! Namun, aku masih yakin, dia seorang lelaki yang baik. Kalau tidak masakkan abah beriya-iya hendak menjodohkan aku dengannya, sedang aku tahu Abah seorang pemilih. Ya Allah, engkaulah penguat jasad dan jiwa ini. Bantulah hamba-Mu ini!
            “ Dahlah ya. Akak sik kisah gilak pun. Jodoh ya di tangan Allah. Mun jadi, jadilah. Mun sik, wallahualam. Kelak, mun Alisya dah besar, Alisya akan faham apa semua tok. Jangan bena lak mikirnya, okey.” Aku segera meninggalkan dia yang masih terkial-kial sendirian. Matanya terkebil-kebil memandang bibirku yang tidak tercalit sedikitpun senyuman. Mungkin kematangan yang terserlah di sebalik umurnya yang masih muda memberanikannya bertanyakan soalan yang sepatutnya ada jawapan. Patutnya aku lebih bersedia, hatiku berbisik sendirian. Hah, sudahlah! Biarlah Allah yang menentukan segalanya setelah apa yang aku usahakan. Dan sekarang biarlah aku sahaja yang  memutuskan menu apa yang harus jadi hidangan malam ini.

***
           
            Aku memerhatikan jam di dinding. Alisya sudah lama lena dibuai mimpi. Dudukku di kerusi malas sudah tidak lagi jenuh. Kenapa Umi dan Abah tidak balik lagi? Tadi kata Umi selepas Isyak, tetapi sekarang sudah hampir 11 malam. Masakkan perkara yang dibincangkan tidak habis-habis lagi. Bukankah aku sudah memberikan kata putus. Apa lagi yang perlu dipersoalkan. Mungkin, ada perkara lain yang lebih mustahak agaknya. Tetapi, sekurang-kurangnya Abah maklumkan kepadaku, supaya aku tidak risau. Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami, Ya Allah!
            “ Assalammualaikum.” Aku tersentak! Itu bukan suara Umi, tetapi siapa yang datang dalam waktu begini?
            “ Waalaikumsalam.” Aku mempercepatkan langkahku ke muka pintu. Perlahan-lahan daunnya kubuka luas. Seketika mataku tertatap pada seraut wajah itu, kaku. Belum ada sebarang reaksi. Sebelum sempat aku berkata apa-apa, tubuhku terlebih dahulu berada dalam dakapannya. Aku membiarkan, tidak mampu melakukan apa-apa lagi.
            “ Sayang adik akak. Sehatkah? ” mulutku bagai terkancing lagatnya. Tidak tahu apa yang harus aku katakan. Lama kami begitu, namun aku masih membisu. Akhirnya, perlahan-lahan dakapannya terurai.
            “ Kenak? Sik suka akak datang sitok? ” Entah mengapa saat itu kurasakan laju sahaja mutiara jernihku menyimbah ke lurah pipi. Satu demi satu titisannya mengalahkan kebisuan yang sekian lama aku pendamkan. Dalam sedar aku mendamba pilu.
            “ Hisy, sik bohlah nangis. Akak datang sitok pun nangis juak. Balitlah mun cam ya.” Dia sengaja membalikkan langkahnya ke halaman rumah. Cuba menguji hati dan perasaanku.
            “ Kenak akak sik telepon dolok tek? Terkejut kamek. Dahlah lamak ada sik balit. Fikirkan dah lupak ngan orang kat rumah.” Sengaja aku mempamerkan wajah sugulku. Memprotes kedatangannya yang tidak dimaklumkan terlebih dahulu. Apatah lagi setelah hampir dua tahun usia perkahwinannya dengan Abang Shahrieman termaktub. Kak Zaleha tersenyum, menampakkan manis wajahnya yang seringkali mengubat luka yang betandang megah.
            “ Eh! Akak telepon ngan Abah tek. Abah sik madahkah? Kan esok adik akak nak bertunang, mestilah akak datang. Sikkanlah akak nak nandah macam ya jak. ” Dia mengelus lembut rambutku yang sedikit terurai. Terasa ikhlas kasih sayang yang sekian lama tidak aku rasai. Akak, aku masih keliru dengan keputusanku.
            “ Sik ada pun abah madah ngan kamek. Mun sik pun, antalah mesej, kan ada handset.” Kak Zaleha hanya tersenyum. Kakinya kini berinjak ke ruang tamu. Daun pintu sekali lagi kututup rapat. Tidak memberi ruang kepada sang pengawal malam yang berniat sinis untuk mengambil kesempatan.
            “ Akak mikir Abah dah madah tek. Macam ni. Okey sik? ” Wajah Kak Zaleha yang sudah kemas di sofa kupandang sekilas.
            “ Entahlah kak. Rasa macam sik nyaman jak nyawa tok. Dahlah sik pernah jumpa gik ngan Ustaz Fahmi. Entah macam nilah rupanya.” Aku cuba membayangkan wajah lelaki itu dengan sejemput janggut dan kopiah yang ada di kepala. Mungkin itu tafsiran biasa yang digambarkan kepada seorang ustaz yang bertugas di institut pengajian tinggi. Daripada apa yang abah beritahu, Ustaz Fahmi merupakan pensyarah baru di Universiti Kebangsaan Malaysia. Baru sahaja bertugas enam bulan yang lepas. Kata abah lagi, dia merupakan anak tunggal keluarga Datuk Syukri dan Datin Hanisah, kawan baik abah ketika menunaikan haji tahun lepas. Selamatlah aku yang dijodohkan!
            “ Akak rasa macam ni? ”
            “ Rasanya sik ada masalah. Sik apa, esok kita sama-sama nangga nya. Eh! Ni Abah ngan Umi? ” 
            “ Tadik sidak duaknya pegi rumah Datin Hanisah. Sik tauk kamek apa dipolah sidaknya. Sik pulang-pulang gik tok.”
            “ Ooo..sik apalah. Akak lapar la sayang, ada masak apa-apa sik? ” aku hanya tersenyum melihat gelagat akak. Terhapus sudah segenap perasaan sedih yang tiba-tiba memuncak tadi. Sememangnya akak sangat bijak dalam menyusun kata. Kalau tidak masakkan Abang Sharieman sangat sayang padanya, Cuma mungkin kali ini Abang Sharieman tidak dapat turut serta kerana ada kerja yang perlu diselesaikan. Ah! Tidak mengapa, itu sesuatu yang lazim dan aku juga bakal merasainya.

***

            Hari yang dinanti, tersergam gah. Aku tunduk membisu. Mempamerkan wajah jernih, seakan-akan tidak kalut dengan apa yang sedang berlaku. Pipiku mula merona merah, menonjolkan kejanggalanku dalam situasi yang aku sendiri tidak pasti pengakhirannya. Umi tersenyum, cuba memujuk rawan hatiku yang kian malu. Ya Allah! Apa yang harus aku lakukan tika ini? Sungguh, aku rimas!
            “ Zara, sitok sayang. Ustaz Fahmi nak nangga muka kitak dengan lebih dekat gik.” Bah! Permintaan Umi benar-benar membunuh ketenanganku. Bagaimana aku bisa berganjak dari kedudukkanku dalam keadaan kakiku kaku. Umi, tolonglah!
            “ Zara? ” Aku tersentak! Pantas sahaja pandanganku dilemparkan ke wajah Umi. Memberanikan diri untuk menerima kenyataan yang sememangnya pasti. Dengan seluruh kudrat yang ada, aku berusaha untuk bangun. Perlahan-lahan, aku duduk bersimpuh di sebelah Umi. Persis lagat seorang anak gadis yang ingin mengadu masalah! Memang aku sedang menghadapi masalah besar. Umi, dengarlah jeritan hatiku!
            “ Umi kenalkan, ya Ustaz Fahmi Muslimin, anak Datuk Syukri ngan Datin Hanisah. InsyaAllah, nyalah yang bakal jadi suami Zara.” Berbekalkan sedikit kekuatan yang masih berbaki, aku menguatkan iltizamku untuk memandang alis wajah yang seharusnya aku kenali. Aku harus lakukannya. Aku tidak ingin menghampakan harapan umi dan abah. Dan yang paling penting, aku lakukan segalanya kerana Allah Taala.
            Ya Allah, dengan nama-Mu yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, aku sandarkan segala takdirku hanya kepada-Mu, berikanlah aku kekuatan! Aku meyakinkan tekadku. Dengan niat yang berat, aku memandangnya. Subhanallah! Sungguh, aku terpana seketika. Wajahnya benar-benar bersih dan bercahaya. Tenang dan membuatkan perasaanku jadi tidak keruan. Mungkin tafsiran yang pernah aku canangkan benar. Dia berwajah sederhana, dengan sejemput janggut yang menurut sunnah Rasulullah s.a.w. Kopiah putih likat melindungi ubun-ubun yang seharusnya dijaga. Lantas aku menundukkan wajah dengan kalimah Allah yang masih meniti di bibir kekaguman. Aku rasakan seluruh dunia sedang menoleh ke arahku. Tabahkan hati, Zara!
            “ Macam mana Fahmi? ” Datuk Syukri sudah mula membuatkan benakku kacau. Aku hanya menanti sahaja jawapan yang akan keluar dari bibir Ustaz Fahmi. Biarlah apa sekalipun tanggapannya pada aku. Aku sudah tidak peduli. Apa yang paling penting, cepatlah usai majlisnya.
            Kebisuan yang berpanjangan mula membuatkan aku lemas sendiri. Jiwaku memberontak inginkan kepastian yang nyata. Secepat dan sepantas yang boleh, agar tidak diriku dibelenggu firasat-firasat yang kurang menyenangkan. Aku masih bersabar dengan degup perasaan yang kian kencang.
            “ Fahmi terima, Abi! ” Terasa disentap jantungku. Apa aku tidak salah dengar. Apa pendengaranku masih pada tahap normal. Dia menerimaku? Serius?
            “ Fahmi setuju terima Zara untuk jadi bakal isteri Fahmi. Bukan sebab Abi paksa atau Umi paksa, tetapi atas kerelaan Fahmi sendiri. Fahmi dapat rasakan, Zara adalah seorang muslimah yang baik.” Nah! Jawapan yang sudah pasti daripada pihaknya. Pengumuman yang spontan dan lansung tidak gentar. Bagaimana dia bisa mentafsirku dengan hanya sekadar pandangan luaran sahaja? Dia sememangnya lantang bersuara.
            “ Zara pula? ” Aku? Aku juga perlu memberikan jawapan? Hah, Kak Zaleha! Mataku meliar mencari kelibat kakak kesayanganku. Aku perlukan inspirasi, aku perlukan dorongan dan sokongan. Akhirnya, jasadnya kukenal pasti. Dia yang duduk bersama Alisya di sebelah abah hanya menghadiahkan senyum senangnya padaku. Pasti akak berkenan!
            “ Zara? ”
            “ Ya, Umi? ”
            “ Macam ni tek? ” Aku hanya mendiamkan diri dengan senyum kecil yang terukir jelas. Aku harap umi akan mengerti maksud yang aku sampaikan. Dan Ustaz Fahmi mungkin lebih tenang dengan keputusan yang aku gambarkan.
            “ Nampaknya Datuk, anak saya pun dah setuju. Perempuan biasalah, kalau dah lama sangat diam, setujulah maksudnya. Siap senyum lagi.” Aku jadi malu sendiri. Umi memang sengaja mengenakan aku.
            “ Alhamdulillah, Ya Allah. Nampaknya, sekarang kita cuma nak tunggu bakal ibu mertua sarungkan cincinlah pula. Moga-moga dipermudahkan segala urusan kita.” Datuk Syukri memberikan isyarat tangannya kepada Datin Hanisah. Pantas sahaja dia bangun dan mendekatiku. Gementar yang bergeseran dalam benakku hanya Allah yang tahu. Mungkin perasaan inilah yang Kak Zaleha pernah rasai dahulu. Tetapi situasi kami berbeza. Dia dengan pilihannya. Dan aku dengan pilihan keluarga.
            Datin Hanisah menarik jari manisku perlahan, lembut dan penuh dengan kesopanan. Kelebihan yang Allah berikan pada para hamba-Nya yang beriman. Lantas, cincin permata yang menjadi lambang ikatan pertunangan, tersarung kemas di jariku. Aku menyalaminya dengan titis air mata yang sudah mula membasahi lurah pipi. Sungguh, pertama kalinya aku rasa benar-benar dewasa. Pandanganku mula beralih ke wajah Umi dan Abah. Tawa kecil mereka menguntum di situ. Jelas terpancar kebahagiaan yang tidak berbelah bahagi. Kemudian mataku menyorot pula ke arah Kak Zaleha dan Alisya. Kak Zaleha hanya melemparkan alis manisnya. Alisya pula sengaja menghantar isyarat mata, menandakan bahawa dia senang untuk menerima orang baru dalam keluarga kami. Aku beristighfar dalam diri, memanjatkan sepenuh kesyukuranku  di atas kekuatan yang telah Dia berikan. Mungkin aku sendiri juga tidak menduga, majlis ini akan menjadi titik sejarah kepada sebuah kehidupan yang baru. Tetapi, Allah itu Maha Besar, dia memberikan kebahagiaan dalam segenap hati yang rapuh untuk aku berdiri lebih teguh. Sesungguhnya Engkau Maha Penyayang!
            “ Bila lagi nak diadakan majlis rasminya, Datuk. Rasanya, tak usahlah dilengahkan terlalu lama. Kedua-duanya pun dah setuju. Sebaiknya dipercepatkan.” Riuh suasana majlis tika itu menenggelamkan aku terkial-kial sendirian. Bukan kerana aku minor, tetapi kerana aku lebih selesa mendengar keputusan ramai.
            “ Fahmi, macam mana? ” Aku memberi perhatian padanya kali ini. Semua hadirin terdiam sejenak. Menunggu butir kata yang bakal lahir dari pihak lelaki. Dia juga memalingkan pandangannya ke arahku. Seketika kami bertentang mata. Akhirnya aku tunduk, kalah dengan sinaran matanya yang telah memberikan jawapan yang pasti.
            “ Seeloknya dipercepatkanlah abi. Fahmi rasa itulah yang terbaik.” Keadaan kembali riuh dengan senda tawa dan senyum para hadirin. Hingar bingar yang menerjah ke telinga, kubiarkan berlalu begitu sahaja. Semua itu tidak mungkin dapat memecahkan danau gementaran yang menghiasi segenap penjuru jiwaku dengan jawapan yang telah diungkapkan sebentar tadi. Hanya yang mampu aku lakukan hanyalah berdoa. Berdoa agar dibukakan pintu rahmat dan kesejahteraan, dibekalkanku dengan kesabaran, dan diuntaiku dengan rantaian kebenaran. Wahai pembina masjid Allah! Bersedialah dengan tapak dan pengisiannya. Kerana akan berkayuh kami ke lembah sunnah, yang telah diamalkan Rasulullah, untuk menggapai redha Allah.

0 ulasan: