DOA RABITHAH


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..


ENGKAULAH SAHABAT...



Sahabat,
Saban hari aku merasakan aku keseorangan,
Yang menemaniku hanya rungkaian tasbih malam,
Yang menyingkap segala kisah,
Di sebalik titisan air mata rindu,
Untuk bertemu lagi denganmu,
Tetapi aku rasakan itu mustahil,
Lantaran kau telah jauh pergi,
Meninggalkan aku sendirian lagi.

Sahabat,
Basah sisip jendela pilu,
Merasakan diriku telah dikau lupakan,
Pahit untuk aku menyatakan,
Dan perit untuk aku telan,
Kau sudah terlalu jauh,
Untuk aku gapai kembali,
Meniti papan kisah yang sekian lama terbina.

Sahabat,
Tidak aku tahu,
Pada siapa lagi harus aku ungkapkan rasa ini,
Tidak aku tahu,
Pada siapa lagi harus aku kongsi denai ini,
Melainkan Dia Yang Satu,
Yang saban malam mengubati duka,
 Yang terkubur di sudut sendu.

Sahabat,
Tidak aku mengharapkan,
 Engkau hadir dengan beribu senyuman,
Tidak aku harap,
Engkau datang dengan seraut tawa,
Juga tidak aku harap,
Engkau datang dengan bersimbah duka,
Cuma yang kuinginkan,
Diriku kau ingati,
Seperti saban waktu,
Menyapa setiap kali kau memandangku.

Sahabat,
Sungguh!
Aku tidak berniat untuk mengguris perasaanmu,
Cuma aku sedikit hampa,
Seakan dibiarkan aku bersendiri,
Menerokai dunia yang penuh tipu dan daya,
Sungguh aku tidak menyalahkanmu,
Mungkin di situ silapku,
Gagal untuk mempertahankan,
Gagal untuk memahami,
Untuk berkongsi duka dan lara.

Sahabat,
Aku menghimpun sepuluh jari,
Memohon maaf atas kekhilafanku,
Tidak mengapa,
Biarkan aku begini,
Agar aku belajar berdikari,
Menghargai bila rasa kehilangan,
Mensyukuri bila rasa terbeban,
Aku sentiasa memaafkan segala kesilapanmu,
Aku doakan engkau bahagia,
Aku doakan engkau lebih tabah dariku,
Hingga bertemu lagi kita di pintu syurga, InsyaAllah.


Nukilan : Zahratie