DOA RABITHAH


Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..


GOLONGAN YANG SEDIKIT



Layakkah aku tergolong dalam golongan itu,
Yang menjaga mahkota mereka dari panahan mata syaitan yang mengundang noda,
Yang menjaga mahkota mereka dari menjadi santapan murahan insan yang durjana,
Yang menjaga mahkota mereka dari menjadi belaian manusia yang bernafsu hina,
Yang menjaga mahkota mereka semata-mata untuk meraih kasih-Nya,
Mampukah aku untuk melakukan semua itu?
Layakkah aku tergolong dalam golongan itu,
Yang menjaga mata mereka dari tergoda dek indahnya dunia,
Yang menjaga mata mereka dari perkara yang sia-sia,
Yang menjaga mata mereka dari terjunam ke lembah dosa,
Yang menjaga mata mereka semata-mata untuk redha-Nya,
Mampukah aku untuk melakukan semua itu?
Layakkah aku tergolong dalam golongan itu,
Yang menjaga telinga mereka dari perkara yang merosak diri,
Yang menjaga telinga mereka dari khabar yang merobek hati,
Yang menjaga telinga mereka dari fitnah yang sebati,
Yang menjaga telinga mereka semata-mata untuk Ilahi,
Mampukah aku untuk melakukan semua itu?
Layakkah aku tergolong dalam golongan itu,
Yang menjaga lidah mereka dari dusta yang membawa celaka,
Yang menjaga lidah mereka dari bara yang membawa nyala,
Yang menjaga lidah mereka dari janji yang tidak dikota,
Yang menjaga lidah mereka hanya untuk berzikir dan berwirid kepada-Nya,
Mampukah aku untuk melakukan semua itu?
Layakkah aku tergolong dalam golongan itu,
Yang menjaga hidu mereka dari bau yang membawa padah,
Yang menjaga hidu mereka dari semerbak yang menguntum lemah,
Yang menjaga hidu mereka dari muatan yang mengundang rebah,
Yang menjaga hidu mereka bagi meruntun redha Allah,
Mampukah aku untuk melakukan semua itu?
Layakkah aku tergolong dalam golongan itu,
Yang menjaga tangan mereka dari khianat yang membawa korban,
Yang menjaga tangan mereka dari riba yang meruntuh iman,
Yang menjaga tangan mereka dari rasuah yang membunuh ihsan,
Yang menjaga tangan mereka semata-mata untuk menjadikan ibadah sebagai teman,
Mampukah aku untuk melakukan semua itu?
Layakkah aku tergolong dalam golongan itu,
Yang menjaga kaki mereka dari tempat yang menuju neraka,
Yang menjaga kaki mereka dari menjejak penghapus bau syurga,
Yang menjaga kaki mereka dari menginjak ke dunia semata,
Yang menjaga kaki mereka semata-mata untuk berjihad ke jalan-Nya,
Mampukah aku untuk melakukan semua itu?

Hakcipta Terpelihara : Siti Zaharah Binti Ramli
Hamba Allah

0 ulasan: